Yamaha 125Z catat bidaan tertinggi dalam lelongan JPJ Negeri Sembilan

SEREMBAN - Motosikal Yamaha 125Z mendapat bidaan tertinggi menerusi Lelongan Awam Kenderaan Sita Siri 1/2025 Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Negeri Sembilan pada Khamis.
Pengarahnya, Hanif Yusabra Yusuf berkata, motosikal itu dibida dengan harga RM6,200, sekali gus menyumbang kepada kutipan keseluruhan berjumlah RM85,570 dalam program yang berlangsung sehingga jam 12.30 tengah hari itu.
Menurutnya, sebanyak 70 kenderaan ditawarkan untuk lelongan kali ini merangkumi 60 kenderaan boleh dilesenkan dan 10 lagi tidak boleh dilesenkan (scrap).
"Lelongan tersebut menarik penyertaan 71 orang pembida dengan bidaan terendah membabitkan kenderaan kategori scrap bernilai RM200.
"Daripada jumlah tersebut, 62 buah kenderaan berjaya dilelong, manakala lapan lagi tidak menerima sebarang bidaan," katanya menerusi kenyataan.

Beliau berkata, lelongan itu merupakan sebahagian daripada usaha JPJ untuk melupuskan kenderaan sita secara telus dan terbuka kepada orang awam.
Pada masa sama, JPJ Negeri Sembilan turut merakamkan penghargaan kepada semua pembida dan agensi terlibat atas sokongan yang diberikan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!