Negeri Sembilan gandakan hadiah APC mulai tahun depan

SEREMBAN - Kerajaan Negeri Sembilan akan menggandakan hadiah Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) penjawat awam negeri daripada RM1,000 kepada RM2,000 bermula tahun depan.
Perkara itu diumumkan Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun pada Majlis APC Pentadbiran Kerajaan Negeri Sembilan 2024 di Klana Resort pada Khamis.
Menurutnya, Ketua-Ketua Jabatan diminta untuk lebih serius memilih calon APC agar mereka dipilih merupakan yang benar-benar layak mendapat penghargaan itu.
"Ada yang terpaksa bagi sebab tak pernah dapat, ada yang terpaksa bagi sebab dah lama tak dapat.
"Mulai tahun depan, saya mohon Ketua Jabatan agar serius memilih calon APC, kerana bermula tahun depan saya mohon jumlah APC digandakan dari RM1,000 kepada RM2,000," katanya.
Beliau berkata, hanya yang benar-benar buat kerja, bertungkus-lumus, tidak ada masalah tatakelola dan berintegriti layak menerima pengiktirafan itu.
"Kalau Ketua Jabatan jujur, kita akan lebih hebat daripada sekarang. Kita ubah, yang mana dapat APC tahun ini pun boleh dapat tahun depan asalkan penuhi syarat mereka benar-benar cemerlang.
"Pendekatan (sebelum ini) perlu berubah. Biar Negeri Sembilan jadi pencetus, diberi anugerah kepada mereka yang betul-betul layak terima penghargaan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

