Tahun Baharu Cina: 500,000 kenderaan dijangka masuk Negeri Sembilan

SEREMBAN - Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Negeri Sembilan menganggarkan 500,000 kenderaan memasuki negeri ini sempena Tahun Baharu Cina berbanding kira-kira 250,000 pada hari biasa.
Pengarahnya, Hanif Yusabra Yusuf berkata, berikutan itu pihaknya melaksanakan Operasi Khas Sempena Perayaan Tahun Baharu Cina 2025 yang telah bermula sejak Isnin lalu.
"Operasi ini akan berterusan sehingga 9 Februari ini yang bertujuan untuk memastikan keselamatan dan kelancaran trafik sepanjang musim perayaan yang dijangka berlaku peningkatan aliran trafik yang ketara.
"Fokus utama kita supaya pengguna jalan raya sentiasa patuh terhadap peraturan dan undang-undang jalan raya serta mengaplikasikan pendekatan mendidik, sekali gus memastikan kelancaran lalu lintas demi keselamatan dan keselesaan mereka," katanya pada advokasi keselamatan jalan raya dan pelancaran Ops Tahun Baru Cina 2025 di Hentian Rehat dan Rawat Seremban arah Selatan pada Rabu.
Hadir sama, Exco Pembangunan Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Pengangkutan Negeri Sembilan, J Arul Kumar.

Sehubungan itu, beliau berkata, cuti semua anggota serta pegawai JPJ seramai 202 orang dibekukan sepanjang berlangsungnya ops ini dan dalam tempoh pelaksanaan ops ini juga, ada hari-hari tertentu mereka akan beroperasi selama 24 jam.
"Antara pendekatan dan strategi JPJ Negeri Sembilan bagi ops kali ini adalah dengan meningkatkan rondaan terutamanya di kawasan blackspot kemalangan," ujarnya.
Hanif Yusabra berkata, pengguna jalan raya juga dinasihatkan supaya lebih berwaspada ketika melalui tiga lokasi 'blackspot' yang kerap berlaku kemalangan maut di Negeri Sembilan.
"Lokasi tersebut ialah Jalan Port Dickson-Lubuk China, Jalan Seremban-Kuala Klawang-Simpang Pertang (Jelebu) dan Kuala Pilah-Jalan Seremban.
"Terdapat 19 lokasi hotspot yang dijangka berlakunya kesesakan lalu lintas di negeri ini membabitkan enam di daerah Seremban, tiga di Port Dickson serta Nilai, masing-masing dua di Tampin dan Rembau, manakala satu lokasi di daerah Kuala Pilah, Jelebu dan Jempol," katanya.
Dalam pada itu, beliau menasihati pengguna lebuh raya yang menggunakan SmartLane iaitu lorong tambahan sementara yang diwujudkan dengan membuka lorong kecemasan untuk kegunaan kenderaan pada waktu tertentu.
"Kita mahu mereka peka akan ada papan tanda amaran, pemakluman selain lampu isyarat juga akan dinyalakan untuk membolehkan kenderaan melalui lorong-lorong kecemasan yang dijadikan sebagai SmartLane agar pergerakan lebuh raya lebih teratur dan lancar," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!