Cemburu, dendam atau hutang mungkin motif pemilik SPA disimbah asid

BACHOK - Motif utama kejadian simbah asid sama ada cemburu, dendam atau hutang masih dalam siasatan polis.
Ketua Polis Daerah Bachok, Superintenden Mohamad Ismail Jamaluddin berkata, setakat ini punca kejadian belum dikenal pasti.
"Kami masih menjalankan siasatan bagi mengenal pasti motif utama kejadian tersebut," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Khamis.
Menurut beliau, keadaan mangsa juga kini semakin stabil dan sedang menerima rawatan di Hospital Pakar USM.
Sebelum itu Sinar Harian melaporkan seorang pekerja kilang getah direman selama lima hari bagi membantu siasatan berhubung kes simbah asid melibatkan seorang pengusaha spa, Nor Faziera Muda, 27 yang kini dirawat di HPUSM.
Perintah reman yang bermula pada Khamis hingga Isnin ini dikeluarkan kepada wanita berusia 38 tahun tersebut oleh Majistret Mohd Fauzan Mohd Suhairi.
Terdahulu suspek yang memakai baju t-shirt dan tudung berwarna biru serta berseluar sukan tiba di Mahkamah Majistret di sini pada jam 9.20 pagi.
Wanita berasal dari Machang itu akan disiasat bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

