Wanita ditahan kes simbah asid pemilik spa

KOTA BHARU – [DIKEMAS KINI] Seorang wanita berusia 38 tahun ditahan polis bagi membantu siasatan berhubung kes simbah asid yang menyebabkan kecederaan parah kepada seorang pengusaha spa pada Sabtu lalu di Beris Kubur Besar, Bachok.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata, tangkapan tersebut dibuat oleh Bahagian Siasatan Khas (D9) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) bersama anggota Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bachok dalam satu operasi bersepadu di hadapan sebuah kilang getah di Kuala Krai, jam 4 petang Rabu.
"Suspek bekerja di sebuah kilang getah dan tidak mempunyai rekod jenayah lampau.
"Polis turut merampas sebuah kenderaan jenis Perodua Myvi, telefon bimbit dan alat kawalan kenderaan," katanya kepada pemberita pada Khamis.
Menurut beliau, kes disiasat di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan.
Ujarnya, suspek akan direman pada pagi Khamis di Mahkamah Majistret Bachok bagi menjalankan siasatan lanjut.
"Polis Kelantan akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana individu yang mendatangkan kecederaan parah.
"Orang ramai dinasihatkan agar tidak membuat sebarang spekulasi dan sekiranya terdapat sebarang maklumat berkaitan, boleh disalurkan terus kepada IPD Bachok atau mana-mana balai polis yang berhampiran," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

