Polis Kelantan temui petunjuk penting kes simbah asid spa

KOTA BHARU – Polis Kelantan menemui beberapa petunjuk penting yang dipercayai dapat membantu siasatan kes simbahan asid melibatkan seorang pengusaha spa wanita di Beris Kubur Besar, Tawang, Bachok pada Sabtu lalu.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata, pihaknya yakin penemuan tersebut akan membawa kepada penangkapan suspek dalam masa terdekat.
“Insya-ALLAH, suspek akan ditangkap tidak lama lagi berdasarkan beberapa petunjuk yang telah kami peroleh setakat ini,” katanya ketika dihubungi pada Selasa.
Sinar Harian pada Ahad melaporkan seorang wanita berusia 27 tahun cedera parah dan terpaksa menjalani pembedahan selepas disimbah asid oleh individu yang menyamar sebagai pelanggan.
Kejadian berlaku kira-kira jam 8.30 malam di premis spa miliknya ketika wanita terbabit berada bersama anaknya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

