Perak, Perhilitan bincang atasi konflik gajah-manusia di JRTB Gerik-Jeli

IPOH – Kerajaan Perak akan berbincang bersama Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) negeri bagi mencari penyelesaian terhadap konflik antara gajah dan manusia yang kerap berlaku di Jalan Raya Timur Barat (JRTB) Gerik-Jeli.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, pihaknya mengambil maklum perkembangan yang berlaku sejak akhir-akhir ini di kawasan berkenaan.
Menurutnya, kajian terhadap tingkah laku gajah antara usaha yang akan dijalankan sebagai sebahagian daripada langkah mengatasi masalah tersebut.
"Saya berbincang dengan rakan-rakan, kita perlu mempelajari tingkah laku gajah ini kerana kebelakangan ini kelihatan gajah-gajah menyeberangi laluan itu secara beramai-ramai.
"Mungkin ada sesuatu yang menyebabkan haiwan ini melintas. Jadi, kita berbincang dengan Perhilitan yang lebih memahami, kita perlu mengkaji apa tabiat gajah ini dan apa yang menyebabkan kawanan gajah menyeberang," katanya kepada pemberita.
Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Majlis Ramah Mesra Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER) Negeri Perak di Pusat Konvensyen Casuarina, Bandar Meru Raya di sini pada Khamis.
Saarani berkata, ketika membangunkan Projek Agropolitan Ganda di Gerik sebelum ini, tanaman getah yang diusahakan diganggu oleh gajah di kawasan berhampiran yang mencari makanan.
"Akhirnya, kita berkompromi dengan menanam satu keluasan khas untuk gajah. Jadi, gajah tidak mengganggu kita. Itu cara kita memahami tabiat mereka.
"Berbeza pula dengan kejadian serangan gajah di JRTB ini, saya tidak pasti, ia perlu disiasat sama ada disebabkan kemalangan melibatkan anak atau sebab-sebab lain," katanya.
Beliau juga mengingatkan pengguna jalan raya agar berhati-hati apabila melalui jalan berkenaan bagi mengelak kejadian tidak diingini berlaku.
Semalam, media melaporkan seorang lelaki berdepan detik mencemaskan apabila kereta dipandunya diserang sekumpulan gajah liar di Kilometer 11 JRTB Gerik-Jeli di sini pada Selasa.
Dalam kejadian kira-kira jam 8.15 malam berhampiran Tugu Peringatan Pembinaan Jalan Raya Timur Barat itu, mangsa yang memandu kereta jenis Toyota Vios dari arah Jeli menghala ke Gerik terpaksa menyelamatkan diri selepas dikepung tiga ekor gajah yang tiba-tiba menghampiri kenderaannya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

