Santuari gajah bakal kurangkan konflik termasuk kematian

GERIK – Cadangan pembinaan Pusat Santuari Gajah Perak di Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) dijangka mampu mengurangkan konflik antara gajah dan manusia sehingga 70 peratus.
Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Perak, Yusof Shariff berkata, pusat itu bukan sahaja dapat mengelakkan kejadian kematian akibat kemalangan gajah di jalan raya, malah mengurangkan kes tanaman rosak dan ancaman kepada penduduk.
“Kita harap projek ini dapat mengurangkan sekurang-kurangnya 50 hingga 70 peratus konflik yang sering berlaku antara manusia dan gajah di kawasan yang dikenal pasti berisiko tinggi,” katanya ketika ditemui pemberita di sini.
Pada 2020, Kementerian Tenaga dan Sumber Asli mengumumkan pembinaan sebuah Santuari Gajah Perak berkonsepkan pembangunan konservasi gajah dan ekopelancongan berhampiran Gerik.
Projek yang menelan kos kira-kira RM40 juta itu adalah usaha berterusan memulihara haiwan liar sekali gus menangani konflik antara gajah dan manusia.
Selari dengan cadangan tersebut, kerajaan Perak tahun lalu mewartakan tanah seluas 79.74 hektar (200 ekar) di Batu 11 JRTB berhampiran Tugu Peringatan Pembinaan Jalan Raya Timur Barat bagi tujuan penubuhan santuari.
Mengulas lanjut, Yusof berkata, permohonan peruntukan tersebut telah dikemukakan kepada Kementerian Ekonomi pada 6 Mei lalu dan sedang menunggu kelulusan daripada kerajaan Pusat.
Tambah beliau, jika semuanya berjalan lancar, pusat santuari tersebut dijangka dapat dimulakan dalam fasa pertama Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) yang akan bermula awal tahun depan.
“Kita juga telah melantik perunding bagi merangka konsep pembangunan yang bersesuaian dan Jabatan Kerja Raya (JKR) sebagai jabatan teknikal turut menyokong projek ini,” katanya.
Beliau yakin, selain aspek pemuliharaan dan keselamatan, projek santuari gajah juga mampu memberikan lonjakan ekonomi khususnya kepada penduduk sekitar Hulu Perak.
“Kita percaya projek ini akan memberikan impak positif kepada komuniti setempat dari Lenggong hingga ke Gerik, khususnya dalam sektor ekopelancongan,” katanya lagi.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

