Pulau Pinang beli 15 buah Toyota Camry baharu

GEORGE TOWN – Ketua Menteri, Chow Kon Yeow pada Selasa mengesahkan pembelian sebanyak 15 buah kereta jenis Toyota Camry 2.5V (AT) (CBU) baharu bagi kegunaan pentadbiran kerajaan negeri.
Menurut beliau, pembelian tersebut melibatkan peruntukan sebanyak RM3.31 juta dengan setiap unit bernilai purata RM220,783.
“Daripada jumlah itu, 10 buah kenderaan diperuntukkan kepada ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, tiga kepada pegawai ex-officio iaitu Setiausaha Kerajaan Negeri, Pegawai Kewangan Negeri dan Penasihat Undang-undang Negeri.
"Sementara itu, masing-masing satu unit kepada Speaker dan Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri,” katanya ketika ditemui di luar Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang di sini pada Selasa.
Tambah beliau, kesemua kenderaan tersebut telah diterima kira-kira dua bulan lalu dan digunakan bagi menggantikan kenderaan sedia ada yang sudah melebihi usia lima tahun.
Terdahulu, ketika sesi perbahasan, Mohd Yusni Mat Piah (Pas-Penaga) mempersoalkan pembelian kenderaan baharu tersebut walaupun terdapat laporan mengenai kedudukan kewangan negeri yang dikatakan mengalami masalah.
Menurut Mohd Yusni, tiada laporan daripada mana-mana pihak mengenai pembelian kenderaan tersebut.
“Kita lihat barisan Exco kerajaan negeri menggunakan kereta Toyota Camry baharu, tetapi perkara ini tidak dilaporkan mana-mana pihak.
“Kerajaan negeri juga dilaporkan menerima pendahuluan sebanyak RM100 juta daripada kerajaan Persekutuan bagi menampung aliran tunai, namun masih membeli kenderaan baharu. Mohon kerajaan negeri beri penjelasan,” katanya.
Untuk rekod, pada Ogos 2019, kerajaan negeri telah membeli 15 unit Toyota Camry 2.5 CBU bagi menggantikan model CKD sebelum ini.
Langkah itu diambil bagi mengurangkan kos penyelenggaraan serta demi faktor keselamatan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!