Pemberian bonus PDC dibuat berdasarkan pencapaian prestasi - Kon Yeow

Chow Kon Yeow
Chow Kon Yeow
A
A
A

GEORGE TOWN - Ketua Menteri, Chow Kon Yeow menjelaskan rasional keputusan Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) memberikan ganjaran bonus sehingga enam bulan gaji walaupun agensi berkenaan dikaitkan dengan beberapa isu berkaitan penjualan tanah serta projek pembinaan yang belum disiapkan.

Menurut beliau, pemberian bonus itu dibuat berdasarkan pencapaian prestasi memberangsangkan yang direkodkan menerusi Balance Score Card (BSC) bagi tahun 2024, yang menunjukkan PDC berjaya melepasi sasaran ditetapkan iaitu lebih 85 peratus.

Jelasnya, hanya 25 peratus daripada keseluruhan kakitangan PDC menerima bonus maksimum enam bulan seperti dilaporkan sebelum ini.

“Pihak pengurusan PDC mengemukakan cadangan kepada Lembaga Pengarah agensi itu berdasarkan beberapa faktor, antaranya keuntungan sebelum cukai dan zakat yang dicatatkan bagi tahun 2024 ialah sebanyak RM527.1 juta, berbanding RM276.6 juta pada 2023, menunjukkan peningkatan 91 peratus.

“Selain itu, PDC turut merekodkan pencapaian bajet yang cemerlang, iaitu 104 peratus dari segi hasil dan 96 peratus dari segi perbelanjaan,” katanya dalam jawapan bertulis di Sidang Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang pada Rabu.

Kon Yeow (DAP-Padang Kota) berkata demikian ketika menjawab soalan Lim Guan Eng (DAP-Air Putih) yang meminta penjelasan mengenai kewajaran pemberian bonus itu sedangkan PDC masih dibelenggu isu tanah serta projek terbengkalai.

Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan seramai 396 kakitangan PDC akan menerima bonus minimum sebulan sehingga lima bulan gaji bagi tahun ini.

Pembayaran yang dibuat pada Februari itu adalah yang tertinggi dalam sejarah iaitu sejak PDC ditubuhkan pada 1972.

Ia adalah berdasarkan prestasi pekerja di mana hanya 10 peratus daripada 396 kakitangan menerima bonus maksimum iaitu lima hingga enam bulan gaji.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Kon Yeow yang juga Exco Kewangan, Pembangunan Tanah dan Komunikasi menambah sebanyak RM6.68 juta diperuntukkan untuk pembayaran bonus tersebut, dan hanya kakitangan yang memperoleh markah melebihi 85 peratus dalam Laporan Nilaian Prestasi Tahunan (LNPT) bagi tahun 2024 sahaja yang layak menerima bonus melebihi dua bulan gaji.

“Daripada 350 kakitangan PDC yang memperoleh bonus lebih dua bulan gaji, dua daripadanya adalah daripada Kumpulan Pengurusan Tertinggi iaitu Ketua Pegawai Eksekutif dan Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif.

“Sebanyak 115 penerima lagi terdiri daripada Kumpulan Pengurusan dan Profesional yang meliputi jawatan seperti Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (2), Pengurus Kanan (7), Pengurus (30), Penolong Pengurus Kanan (17) dan Penolong Pengurus (59),” katanya.

Sementara itu, beliau berkata, seramai 233 kakitangan daripada kumpulan pelaksana atau sokongan turut menikmati bonus melebihi dua bulan berdasarkan kelayakan prestasi masing-masing.

Pada Selasa, Guan Eng yang juga bekas Ketua Menteri Pulau Pinang mempersoalkan kewajaran bayaran bonus sehingga enam bulan gaji kepada kakitangan PDC yang diumumkan pada Februari lalu.

Guan Eng berkata, bagaimana PDC boleh membayar bonus sebanyak itu sedangkan agensi itu sedang berdepan pelbagai kontroversi termasuk kelewatan projek dan keputusan penjualan tanah yang merugikan kerajaan negeri.

Menurut beliau, bayaran bonus itu adalah yang tertinggi dalam kalangan agensi kerajaan negeri, sekali gus menimbulkan persoalan tentang keutamaan dan integriti pengurusan kewangan PDC ketika kerajaan negeri sendiri menghadapi kekangan kewangan yang serius.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!