Ujian KPP di institut memandu mudahkan proses dapat lesen

Tiga bakal pemandu baharu yang lulus KPP menunjukkan sijil mereka.
Tiga bakal pemandu baharu yang lulus KPP menunjukkan sijil mereka.
A
A
A

KOTA BHARU - Pusat Ujian Undang-Undang Berkomputer (KPP) yang dibenarkan oleh Kementerian Pengangkutan di institut memandu memberi peluang kepada bakal pemandu baharu memperoleh lesen memandu dengan lebih cepat.

Timbalan Presiden Persatuan Institut Memandu Negeri Kelantan, Kamaruddin Hassan berkata, calon boleh terus menduduki ujian undang-undang berkenaan selepas mengikuti kelas KPP.

Menurut beliau, kaedah ini lebih praktikal apabila calon yang gagal diberi peluang mengulang ujian pada hari yang sama, berbanding terpaksa membuat tempahan semula sebelum ini.

“Sistem baharu ini lebih sistematik apabila bakal pemandu baharu dapat mengambil ujian KPP dan ujian litar di institut memandu yang sama, sekali gus menjimatkan kos mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Pembukaan Pusat Ujian KPP di Institut Yakin Pandu Sdn Bhd di sini pada Khamis.

Kamaruddin memberitahu, setakat ini tiga daripada 15 institut memandu di negeri ini telah mempunyai KPP sendiri.

Kamaruddin yang juga Pengarah Urusan Akademi Memandu Anda Sdn Bhd memaklumkan bahawa sehingga kini kira-kira 3,000 calon berjaya memiliki lesen sejak akademinya memanfaatkan KPP enam bulan lalu.

Sementara itu, Pengurus Besar Institut Memandu Yakin Pandu Sdn Bhd, Erniy Zulhayat Zulnaidi berkata, perkhidmatan secara digital itu mampu mengurangkan penggunaan kertas dan melestarikan alam sekitar.

Artikel Berkaitan:

“Banyak manfaat yang kami peroleh selepas kerajaan membenarkan KPP, terutama menjimatkan masa institut memandu,” katanya.

Beliau juga yakin lebih ramai calon akan berminat mengambil lesen memandu kerana tidak banyak karenah yang perlu dilalui, termasuk menempah slot baharu untuk menjalani ujian.

Kementerian Pengangkutan membenarkan institut memandu membuka pusat ujian bagi mengendalikan Ujian Undang-Undang Berkomputer bermula April tahun lalu.

Calon mengambil ujian KPP dan ujian litar di tempat yang sama, sekali gus memudahkan mereka serta mengurangkan masa menunggu.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!