Malaysia tidak boleh ada undang-undang lapuk untuk hadapi cabaran baharu - PM

DAVOS (Switzerland) - Malaysia tidak boleh masih memiliki undang-undang lapuk bagi menangani banyak cabaran baharu yang muncul, terutamanya dalam mengharungi arus kemajuan pesat teknologi, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Bercakap pada sesi taklimat media bertajuk "Unlocking ASEAN's Digital Future: Driving Inclusive Growth and Global Competitiveness" di Sidang Kemuncak Tahunan Forum Ekonomi Dunia (WEF) 2025, perkembangan itu menuntut kerajaan memupuk peluang-peluang besar dalam kerjasama antarabangsa bagi menghadapi cabaran-cabaran berkenaan.
Beliau turut menyuarakan komitmen kerajaan untuk menampilkan undang-undang terkini yang sejajar dengan perkembangan global.
"Kita ambil semua undang-undang terkini yang berkaitan di seluruh dunia, dan menyesuaikannya dengan sewajarnya, untuk meneruskannya. Mujur kerajaan mempunyai sokongan majoriti dua pertiga di parlimen. Itu sangat membantu.
"Ini kerana orang ramai akan melihat pelbagai perkara yang perlu kita lakukan untuk memberi makna kepada kerjasama yang berkesan dan dasar yang jelas, serta pelaksanaan pantas yang berkesan," kata Anwar yang juga Menteri Kewangan.
Penceramah lain pada sesi 30 minit yang dikendalikan oleh Ketua Pembangunan dan Perancangan Media WEF Dai Di itu ialah Worldwide Managing Partner Bain & Company Christophe De Vusser dan Ketua Agenda Serantau WEF untuk Asia-Pasifik Joo-Ok Lee.
Ketika ditanya bagaimana untuk mencapai potensi penuh ASEAN yang menyaksikan Malaysia sebagai pengerusi perkumpulan serantau berkenaan tahun ini, Anwar berkata semua pemimpin anggota mesti terus merangka dasar yang betul, terutamanya mengenai kemajuan pesat teknologi baharu.
"Kerjasama itu bermaksud semua perlu merendah diri untuk mengakui bahawa ini adalah teknologi baharu yang mencabar. Kita tidak mempunyai semua jawapan, oleh itu kerjasama mesti bermula dengan semua pihak terlibat, daripada pemain, syarikat-syarikat besar dan juga negara.
"Sekarang tugasnya bukan untuk muncul dengan jawapan, sebaliknya untuk mendapatkan semua input yang diperlukan, mengenai apa yang perlu dilakukan. Sudah pastinya ekosistem yang perlu ada, termasuk lapangan terbang, pelabuhan, infrastruktur, pusat kecemerlangan, penyelidikan dan kerjasama dengan universiti," katanya.
Beliau berkata selain kerjasama dalam kalangan pemimpin ASEAN, adalah juga penting untuk melibatkan sektor swasta, kerana teknologi adalah bidang yang memerlukan kerajaan untuk mengakui batasan mereka dan menerima pendekatan kolaboratif jika mereka ingin berjaya.
Anwar kini mengetuai delegasi Malaysia dalam lawatan kerja tiga hari untuk menghadiri Sidang Kemuncak Tahunan WEF 2025, di sini.
Ini merupakan penyertaan pertamanya dalam WEF sejak memegang jawatan Perdana Menteri pada 2022.
Dengan tema "Collaboration for the Intelligent Age”, sidang kemuncak peringkat tinggi yang bermula semalam dan berlangsung sehingga 24 Januari itu akan membincangkan pelbagai perkara, antaranya berkaitan peranan dan sumbangan teknologi baru muncul serta inovasi terkini dalam menangani isu ekonomi global. - Bernama
_________________________________________________________________________________________________
Malaysia mahu tambah baik FTA, merangkumi pendigitalan - Anwar
DAVOS (Switzerland) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata pendigitalan merupakan "komponen yang tercicir" dalam semua perjanjian perdagangan bebas (FTA) Malaysia sebelum ini.
Menekankan transformasi digital adalah salah satu keutamaan yang digerakkan secara agresif oleh ASEAN, beliau berkata Malaysia yang kini sedang merancang untuk menambah baik beberapa perjanjian perdagangan bebas (FTA) sedia adanya, juga menimbang pendigitalan sebagai sebahagian daripada "penambahbaikan" itu.
"Kami baru sahaja memeterai FTA dengan Emiriah Arab Bersatu (UAE) minggu lepas. Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP) dengan United Kingdom. Dan kini, kami mahu mempercepatkan kemajuan dengan Kesatuan Eropah melalui Perjanjian Perdagangan Bebas Malaysia-EU (MEUFTA).
"Satu komponen yang sangat penting yang tiada dalam semua FTA sebelum ini sudah tentunya pendigitalan," kata beliau pada taklimat media di Forum Ekonomi Dunia (WEF) 2025, di sini, pada Selasa.
Mengenai transformasi digital dalam ASEAN, Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata ketersambungan yang dipacu kecerdasan buatan (AI) perlu mengambil kira pelbagai jurang di kawasan bandar dan menyediakan lebih banyak ketersambungan ke kawasan kurang membangun.

"Komitmen kami adalah untuk memastikan penghantaran seperti ini (Grid Kuasa ASEAN atau APG) dan juga transformasi pendigitalan akan meliputi semua sudut dan bidang.
"Jika kedua-dua keutamaan ini dicapai, saya fikir ia akan menjadi satu pencapaian yang luar biasa bagi ASEAN sebagai sebuah rantau kerana, seperti yang anda tahu, secara relatifnya ia adalah rantau paling aman di dunia dan ekonomi yang paling pesat berkembang. Tetapi kami tidak memberi penekanan kepada kerjasama ekonomi atau teknologi yang substantif," kata beliau.
Anwar juga melahirkan keyakinan konsensus yang dicapai dalam kalangan pemimpin ASEAN, menandakan peralihan radikal yang sangat penting daripada pandangan konvensional pemimpin ASEAN pada masa lalu.
Selain itu, Perdana Menteri juga menekankan kepentingan sektor swasta bersatu melalui kerjasama dalam pendigitalan untuk mempercepatkan inisiatif dalam kalangan negara anggota.
Selain pendigitalan, negara anggota juga menyasar untuk merealisasikan APG, yang merupakan rangkaian saling sambung kuasa serantau untuk menghubungkan rantau itu, yang seterusnya boleh membawa kepada sistem grid kuasa Asia Tenggara bersepadu sepenuhnya.
APG menghubungkan Laos, Thailand, Malaysia dan Singapura, termasuk sambungan Sarawak-Semenanjung Malaysia melalui kabel dasar laut.
Perdana Menteri berkata demikian ketika berkongsi pandangan beliau tentang "Unlocking ASEAN Digital Future" sebagai pengerusi ASEAN, pada taklimat itu.
Turut hadir pada majlis itu ialah Lee Joo-Ok Ketua Agenda Serantau, Asia-Pasifik; Ahli Jawatankuasa Eksekutif WEF, dan Christophe De Vusser Rakan Kongsi Urusan Global Bain & Company.
Anwar kini dalam lawatan kerja selama tiga hari menghadiri WEF 2025, yang kali pertama dihadiri beliau sejak menyandang jawatan perdana menteri pada 2022. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!