Seram, bila rasa malu makin hilang

KADANG-kadang pelik dan berasa seram pun ada, bukan sebab menonton filem hantu, tapi tengok gelagat manusia di media sosial akhir-akhir ini.
Semua benda dan segala perkara nak ditulis dan dicerita dalam media sosial. Semakin hari semakin seronok membuka pekung sendiri, sampaikan masalah rumah tangga dan hal dalam bilik tidur pun dikongsi.
Yang menghairankan, ada pula kejadian dia sendiri yang buka aib, lepas itu marah bila orang mengata atau beri nasihat. Sikap sebegini juga menjadi-jadi.
Merak Jalanan tengok ada yang berkongsi luahan suami tak bagi nafkahlah, anak tak dengar katalah, perli rakan sepejabat, malah ada yang siap rakam video nangis-nangis untuk menarik perhatian. Untuk apa semua ini?
Jika untuk mendapatkan pandangan pihak sepatutnya, mungkin tidak salah tetapi janganlah keterlaluan dan sengaja mendedahkan aib, ibarat telanjangkan diri sendiri tanpa sedar.
Akibat itu nanti semakin ramailah kaunselor tidak bertauliah muncul. Ada memberi nasihat dan ada tidak kurang menjadi penambah perisa dan mengeruhkan situasi dengan menambah masalah yang ada.
Merak Jalanan tak kata semua yang meluah perasaan itu salah. Ada yang mungkin nak hilangkan tekanan.
Tapi, bila sampai tahap mengaibkan diri sendiri atau keluarga - itu bukan meluah, tetapi melondeh aib diri! Sampai dah tak ada privasi langsung, sampai kita terfikir ini masalah dalaman atau masalah mental?
Nasihat Merak Jalanan mudah saja, simpan sikit cerita untuk diri. Bukan semua benda perlu dicanang. Kadang-kadang, diam itu lebih mulia daripada posting berjela. Jangan sampai dunia tahu semua, baru sedar aib tak boleh dijahit semula.
Media sosial ini umpama padang luas. Apa yang kita tulis, satu dunia boleh baca. Sekali dah tulis, susah nak tarik balik. Hari ni orang puji, esok orang kecam. Yang rugi siapa? Diri sendiri juga.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
