Ketelusan kunci bendung rasuah

SHAH ALAM - Kaedah terbaik untuk mendidik masyarakat mengenai bahaya rasuah perlu dimulakan dengan amalan ketelusan di peringkat eksekutif atasan, diikuti golongan aristokrat atau bangsawan utama dalam kalangan penjawat awam.
Ahli Majlis Tertinggi Rasuah Busters Pulau Pinang, Zikrullah Ismail berkata, antara langkah yang boleh diambil termasuklah rombakan jawatan dalam kalangan penjawat awam secara berkala dalam tempoh yang wajar.
“Amalan ketelusan itu juga perlu diperluaskan kepada ahli politik yang memegang kuasa agar tidak terlalu lama berada dalam kedudukan yang selesa sehingga memungkinkan pelaksanaan agenda politik ekonomi secara melampau demi kelangsungan parti mereka.
“Dana-dana awam adalah amanah daripada rakyat dan seharusnya ditadbir untuk kepentingan masyarakat, bukannya dijadikan tabung politik melalui permainan politik ekonomi,” katanya.
Terdahulu, media melaporkan enam individu termasuk seorang pengarah bergelar Datuk dan seorang jurutera di sebuah jabatan kerajaan ditahan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada Isnin kerana disyaki menerima rasuah berjumlah ratusan ribu ringgit berkaitan tawaran kerja kontrak pembangunan dan penyenggaraan sejak 2021.
Zikrullah meluahkan kebimbangan bahawa rasuah akan meningkatkan kos tidak wajar, sekali gus menjejaskan produktiviti ekonomi apabila pihak yang tidak cekap dipilih kerana adanya ‘pelincir’ dalam bentuk rasuah.
Tegasnya, rasuah bukan sahaja melibatkan wang tunai, malah turut meliputi akses terhadap kekayaan yang lazimnya dimiliki oleh pihak berkuasa eksekutif berpengaruh politik atau golongan aristokrat dalam penjawat awam, yang akhirnya menjadi 'Napoleon kecil' dalam hal pemberian kontrak awam.
Justeru, menurut beliau, amalan pengurusan yang berasaskan ketelusan perlu dijadikan prinsip utama dalam proses pemberian kontrak kerajaan.
“Kepimpinan kerajaan, khususnya golongan eksekutif utama, perlu menunjukkan teladan terlebih dahulu dan bukan sekadar melaungkan prinsip untuk modal politik, sedangkan mereka sendiri mengkhianati prinsip tersebut,” ujarnya.
Dalam pada itu, katanya, tindakan pendakwaan yang hanya tertumpu kepada sektor awam tanpa melibatkan ahli politik yang memegang kuasa eksekutif merupakan satu isyarat amaran (red flag) yang boleh menyebabkan masyarakat berasa tertipu dan kecewa.
Zikrullah menegaskan bahawa masyarakat sivil dan media perlu terus bersuara dalam mengingatkan tentang isu pendakwaan terpilih terhadap ‘ikan bilis’ berbanding ‘jerung besar’ yang boleh menjejaskan imej dan kredibiliti kerajaan.
“Krisis kepercayaan atau defisit keyakinan awam akan terus membantutkan usaha murni dalam menangani rasuah dalam pemberian kontrak kerajaan,” tambah beliau.
Menurutnya lagi, isu-isu besar yang melibatkan individu berkepentingan dalam kalangan ahli politik berkuasa eksekutif yang menjadi kaya secara tiba-tiba harus dijadikan batu ukur terhadap fenomena dakwaan terpilih.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

