[VIDEO] Kontraktor bangunan mengaku tidak bersalah guna dokumen palsu tender jambatan

A
A
A

JOHOR BAHRU - Seorang kontraktor bangunan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, pada Rabu, atas pertuduhan menggunakan dokumen palsu bagi tender membaik pulih jambatan di Yong Peng, empat tahun lalu.

Tertuduh, Mohd Izwan Mohd Ali, 39, membuat pengakuan tersebut di hadapan Hakim Datuk Ahmad Kamal Arifin Ismail setelah pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah.

Berdasarkan kertas pertuduhan, tertuduh didakwa menggunakan suatu dokumen palsu, iaitu Kebenaran Khas Menyertai Tender di luar Pengkhususan Berdaftar CE02 Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB), sebagai tulen.

Dokumen itu adalah bagi tujuan tender membaik pulih jambatan di Jalan Kampung Paya, Yong Peng, dan tertuduh mempunyai sebab untuk mempercayai bahawa dokumen tersebut adalah palsu ketika ia diserahkan kepada Majlis Daerah Yong Peng.

Seorang kontraktor bangunan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, pada Rabu, atas pertuduhan menggunakan dokumen palsu bagi tender membaik pulih jambatan di Yong Peng, empat tahun lalu.
Seorang kontraktor bangunan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, pada Rabu, atas pertuduhan menggunakan dokumen palsu bagi tender membaik pulih jambatan di Yong Peng, empat tahun lalu.

Tertuduh didakwa melakukan perbuatan tersebut di Majlis Daerah Yong Peng, Kilometer 1, Jalan Labis, Yong Peng, pada 27 April 2021.

Oleh itu, pertuduhan dibuat di bawah Seksyen 471 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah Seksyen 465 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara yang boleh sampai dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Faizul Kamarozaman, manakala tertuduh diwakili peguam Siti Nadia Yahya.

Artikel Berkaitan:

Pihak pendakwaan mencadangkan jaminan dikenakan berjumlah RM10,000 dalam cagaran wang tunai dengan seorang penjamin warga tempatan.

Peguam, Siti Nadia, bagaimanapun memohon jaminan yang rendah, iaitu sebanyak RM5,000 susulan tertuduh tidak mempunyai pendapatan tetap, selain mempunyai tanggungan seorang isteri dan empat orang anak berusia enam hingga 12 tahun.

Mahkamah kemudiannya menetapkan jaminan RM7,000 terhadap tertuduh dan menetapkan 19 Jun depan sebagai tarikh sebutan semula kes dan serahan dokumen.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!