India dakwa China bantu Pakistan dengan sokongan satelit, pertahanan udara

Pusat Kajian Perang Bersama India melaporkan bahawa China memberikan sokongan pertahanan udara dan satelit kepada Pakistan semasa pertempuran antara Pakistan dan India pada bulan Mei. - AFP
Pusat Kajian Perang Bersama India melaporkan bahawa China memberikan sokongan pertahanan udara dan satelit kepada Pakistan semasa pertempuran antara Pakistan dan India pada bulan Mei. - AFP
A
A
A

NEW DELHI - Sebuah kumpulan penyelidikan di bawah Kementerian Pertahanan India mendakwa bantuan sistem pertahanan udara dan sokongan satelit yang diberikan China kepada Pakistan semasa konflik dengan India yang tercetus pada Mei lalu menunjukkan tahap penglibatan Beijing lebih mendalam daripada yang diketahui umum sebelum ini.

Ketua Pengarah Pusat Kajian Perang Bersama India (Centre for Joint Warfare Studies – CENJOWS), Dr Ashok Kumar berkata, China membantu Pakistan menyusun semula sistem radar dan pertahanan udaranya bagi meningkatkan keupayaan mengesan pergerakan tentera dan senjata India.

"China membantu mereka menempatkan semula radar pertahanan udara supaya sebarang tindakan dari ruang udara kita dapat dikesan lebih awal," katanya dalam satu temu bual di ibu pejabat CENJOWS di New Delhi baru-baru ini.

Tambah beliau, China juga membantu Pakistan melaraskan liputan satelit ke atas wilayah India dalam tempoh 15 hari antara insiden pembunuhan beramai-ramai pada 22 April yang mengorbankan 26 pelancong, kebanyakannya warga India, dan permulaan pertempuran ketenteraan antara kedua-dua negara.

Walaupun kerajaan India belum mengeluarkan kenyataan rasmi mengenai tahap penglibatan China, dakwaan Dr Kumar, sekiranya tepat, menunjukkan bahawa sokongan Beijing terhadap Islamabad bukan hanya dalam bentuk bekalan senjata, sebaliknya turut merangkumi bantuan logistik dan risikan.

CENJOWS merupakan badan pemikir bebas yang memberikan tumpuan kepada integrasi serta transformasi Angkatan Tentera India, dan lembaga penasihatnya termasuk Menteri Pertahanan Rajnath Singh serta panglima tertinggi tentera darat, laut dan udara India.

Setakat ini, Kementerian Luar dan Pertahanan China tidak memberikan sebarang maklum balas terhadap permintaan media yang dihantar pada hujung minggu lalu. Begitu juga Kementerian Luar India, Kementerian Pertahanan, Angkatan Tentera serta Pejabat Perdana Menteri Narendra Modi.

Kumar turut mendakwa China menggunakan konflik ini sebagai ‘medan ujian’ untuk menilai keberkesanan sistem senjata mereka.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun, menurut penilaian ketenteraan India, prestasi sistem pertahanan buatan China dilaporkan ‘gagal secara menyeluruh’ dalam beberapa insiden, meskipun beliau tidak mendedahkan butiran lanjut.

Beliau turut menyatakan bahawa sistem pertahanan India berfungsi dengan baik dalam menangani serangan beratus-ratus dron yang dilancarkan Pakistan sepanjang konflik itu.

Namun, beliau enggan mengulas berkenaan pesawat pejuang China jenis J-10C atau dakwaan Pakistan yang menyatakan mereka telah menembak jatuh beberapa jet pejuang India.

Pada 16 Mei, Perdana Menteri Pakistan, Shehbaz Sharif mendakwa tenteranya berjaya menembak jatuh enam pesawat pejuang India, namun dakwaan itu masih belum dapat disahkan secara bebas.

Pihak kerajaan India pula tidak memberikan sebarang pengesahan atau penafian berkenaan kehilangan pesawat dalam pertempuran tersebut.

Kehadiran senjata China seperti jet J-10C dan peluru berpandu udara ke udara PL-15 yang digunakan buat kali pertama dalam konflik sebenar menimbulkan kebimbangan dalam kalangan pesaing serantau Beijing, termasuk Taiwan.

China masih belum memberikan sebarang ulasan rasmi berkenaan penggunaan senjata mereka dan Pakistan juga belum mengemukakan bukti bagi menyokong dakwaan tersebut. – Agensi

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!