MCMC, Mindef bangunkan sistem radar pertahanan udara jarak jauh

MCMC hari ini memeterai perjanjian dengan Mindef berhubung pembangunan sistem radar pertahanan udara jarak jauh untuk kegunaan TUDM. Foto Bernama
MCMC hari ini memeterai perjanjian dengan Mindef berhubung pembangunan sistem radar pertahanan udara jarak jauh untuk kegunaan TUDM. Foto Bernama
A
A
A

LANGKAWI – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) hari ini memeterai perjanjian dengan Kementerian Pertahanan (Mindef) berhubung pembangunan sistem radar pertahanan udara jarak jauh untuk kegunaan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

Perjanjian tersebut ditandatangani oleh Pengerusi Eksekutif MCMC, Tan Sri Mohamad Salim Fateh Din, dengan Ketua Setiausaha Mindef, Datuk Lokman Hakim Ali, pada satu majlis bersempena Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi 2025 (LIMA’ 25).

Permeteraian perjanjian itu disaksikan oleh Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Turut hadir di majlis itu ialah Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi, Datuk Mohamad Fauzi Md Isa; Ahli Suruhanjaya MCMC, Jen (B) Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin; dan Mej Jen Datuk Muhammad Tarminzi Mustapha yang mewakili Panglima Tentera Udara, serta barisan pengurusan tertinggi daripada kedua-dua pihak.

MCMC dalam kenyataan bersama Mindef memaklumkan bahawa perjanjian tersebut merupakan simbolik kepada kerjasama strategik antara kedua-dua pihak dalam usaha memperkasa keupayaan serta kesiapsiagaan sistem pertahanan negara melalui penyediaan infrastruktur ketenteraan kritikal berteraskan teknologi komunikasi dan keselamatan.

Selain itu, perjanjian ini turut mencerminkan komitmen berterusan kerajaan dalam memperkukuh keselamatan negara melalui pendekatan kolaboratif antara sektor awam dan pertahanan.

"Menerusi perjanjian ini, MCMC dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan bersama-sama melaksanakan inisiatif strategik menyeluruh bagi pembangunan sistem radar pertahanan udara jarak jauh TUDM.

"Sistem radar baharu ini bakal memperkukuh keupayaan pemantauan dan kawalan ruang udara di wilayah selatan Semenanjung Malaysia serta secara langsung menyumbang kepada pengukuhan keselamatan dan kedaulatan negara,” menurut kenyataan itu.

Artikel Berkaitan:

Pada masa sama, kenyataan tersebut memaklumkan bahawa sokongan ini adalah sejajar dengan pendekatan menyeluruh kerajaan (Whole-of-Government, WoG) yang mengutamakan sinergi antara agensi bagi mencapai aspirasi nasional. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!