Pakistan lancar serangan ke atas 26 kemudahan ketenteraan India

ISLAMABAD – Tentera Pakistan melancarkan serangan menyasarkan 26 kemudahan ketenteraan India, selain menghantar puluhan dron berlegar di beberapa bandar utama termasuk ibu negara, New Delhi, dalam satu operasi ketenteraan berskala besar yang dilancarkan pada Sabtu, lapor Reuters.
Jurucakap tentera Pakistan dalam satu sidang media lewat malam Ahad memaklumkan bahawa serangan itu merupakan sebahagian daripada langkah ofensif balas terhadap tindakan India dalam konflik yang semakin memuncak antara kedua-dua negara berjiran itu.
"Sebanyak 26 sasaran tentera India telah dikenalpasti dan dihentam dengan tepat. Pada masa yang sama, sejumlah besar dron kami menjalankan misi pemantauan dan tekanan psikologi di ruang udara beberapa bandar utama India termasuk New Delhi," katanya.
Beliau tidak memperincikan lokasi tepat setiap sasaran, namun mengesahkan bahawa operasi tersebut melibatkan penggunaan peluru berpandu jarak jauh serta dron berteknologi tinggi yang dikawal sepenuhnya oleh unit taktikal Pakistan.
Tegas jurucakap itu lagi, operasi tersebut dilakukan sebagai tindak balas terhadap pencerobohan India ke atas wilayah Pakistan baru-baru ini.
Ketegangan antara India dan Pakistan semakin meningkat sejak minggu lalu susulan beberapa insiden rentas sempadan yang mengorbankan anggota tentera dari kedua-dua pihak. Kedua-dua negara memiliki senjata nuklear dan telah terlibat dalam tiga peperangan besar sejak pemisahan mereka pada tahun 1947.
Setakat ini, pihak India belum mengeluarkan kenyataan rasmi berhubung dakwaan serangan tersebut. -Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!