Manusia makin hilang empati terhadap haiwan

Laporan berhubung kejadian individu menyeksa, membunuh atau mencederakan kucing atau anjing semakin mendapat perhatian setelah banyak rakaman tular di media sosial. Gambar hiasan
Laporan berhubung kejadian individu menyeksa, membunuh atau mencederakan kucing atau anjing semakin mendapat perhatian setelah banyak rakaman tular di media sosial. Gambar hiasan
A
A
A

TINDAKAN mencederakan atau penderaan haiwan termasuk di jalanan bukan sahaja menggambarkan tingkah laku kejam malah menunjukkan rasa empati individu makin terhakis.

Di negara kita, laporan berhubung kejadian individu menyeksa, membunuh atau mencederakan kucing atau anjing semakin mendapat perhatian setelah banyak rakaman tular di media sosial.

Kejadian terbaru melibatkan warga emas berusia 70-an yang ditahan dipercayai memukul dan membaling kucing ke kawasan rumah tidak berpenghuni di Taman Yayasan, Buloh Kasap, Segamat, Johor, baru-baru ini.

Statistik daripada Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) menunjukkan peningkatan laporan terhadap penderaan haiwan termasuk kucing dalam tempoh lima tahun kebelakangan ini.

Pada tahun 2021, aduan jenayah terhadap haiwan mencatatkan 1,249 kes, 1,580 kes (2022), 2,620 (2023) dan 2,458 kes dicatatkan setakat Julai tahun lalu.

Antara jenis aduan yang diterima termasuk menyepak, memukul, merantai haiwan dengan tali pendek, melaga haiwan, membakar dan membunuh.

Daripada angka itu, anjing mencatatkan jumlah penderaan tertinggi diikuti oleh kucing, kuda, arnab, burung dan lembu.

Selain itu turut dilaporkan mengenai penderaan terhadap haiwan lain seperti ayam, hamster, kambing, guinea pig, angsa, ikan, itik, kura-kura dan juga ular.

Penulis percaya jumlah sebenar penderaan di luar pengetahuan pihak berkuasa mungkin jauh lebih tinggi.

Artikel Berkaitan:

Tindakan individu mencederakan haiwan peliharaan boleh dikaitkan dengan beberapa faktor antaranya kegagalan mendidik nilai empati terhadap haiwan.

Tekanan emosi dan masalah kesihatan mental turut menjadi pemangkin. Keganasan terhadap haiwan boleh menjadi petunjuk awal kecenderungan kepada jenayah lebih serius termasuk jenayah terhadap manusia.

Undang-undang seperti Akta Kebajikan Haiwan 2015 (Akta 772) yang memperuntukkan denda sehingga RM100,000 atau penjara tiga tahun, jika disabitkan kesalahan perlu dikuatkuasakan.

Langkah itu bagi membendung kezaliman terhadap haiwan peliharaan termasuk di jalanan selain memberi pengajaran bahawa sebarang jenayah terhadap haiwan adalah perkara yang serius.

Selain itu, sistem aduan lebih mesra pengguna seperti aplikasi mudah alih atau talian khas, perlu diwujudkan bagi menggalakkan orang awam tampil melaporkan jenayah ini lebih efisien.

Pendekatan pendidikan dan advokasi juga harus diperkasa. Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berasaskan kebajikan haiwan seperti Society for the Prevention of Cruelty to Animals (SPCA) Selangor, Persatuan Haiwan Malaysia dan individu pencinta haiwan perlu diberi ruang dan sokongan untuk meneruskan kempen kesedaran.

Program khidmat masyarakat yang melibatkan pelajar sekolah di pusat jagaan haiwan boleh menyemai nilai empati secara langsung.

Tanggungjawab pemilik haiwan juga dapat membantu mengurangkan perlakuan penganiayaan kepada haiwan peliharaan mereka dengan mendapatkan nasihat pakar berkaitan veterinar.

Antara usaha yang diperkenalkan di Perak adalah program Pawsitive oleh kerajaan negeri bersama NGO pencinta haiwan.

Melalui pendekatan mesra haiwan, program tersebut memfokuskan kepada usaha pemandulan, vaksinasi, penjagaan sementara dan haiwan angkat.

Jumlah anjing dan kucing yang dimandulkan di bawah Perak Pawsitive sehingga Sabtu lalu adalah 169 anjing dan 239 kucing.

Perlindungan haiwan adalah tanggungjawab bersama. Setiap individu mempunyai peranan sama ada dengan menyelamatkan haiwan, berkongsi maklumat mahupun mendidik orang sekeliling agar lebih prihatin terhadap makhluk ini.

Setiap tindakan walaupun kecil mampu membawa perubahan besar terhadap nasib haiwan di negara ini.

Secara keseluruhannya, tindakan mencederakan kucing mahupun anjing bukanlah sekadar kes terpencil semata-mata.

* Noor Ainon Mohamed Yusof ialah wartawan Sinar Harian

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!