Tak tepat lafaz ‘Waalaikumussalam’ jawab kiriman salam

KETAHUI cara yang betul menjawab lafaz kiriman salam daripada pihak ketiga menurut Islam. -Foto: 123RF
KETAHUI cara yang betul menjawab lafaz kiriman salam daripada pihak ketiga menurut Islam. -Foto: 123RF
A
A
A

KEBANYAKAN daripada kita secara spontan akan menjawab ‘Waalaikumussalam’ setiap kali menerima ucapan kiriman salam daripada seseorang.

Tidak kiralah sama ada disampaikan oleh rakan, ahli keluarga atau kenalan, jawapan itu seolah-olah menjadi kebiasaan kita.

Hakikatnya, lafaz itu tidak tepat untuk menjawab salam yang dikirim melalui orang tengah.

Andai ia dibiarkan begitu sahaja secara berterusan, ia boleh menyebabkan seseorang itu terlepas daripada memenuhi tuntutan hukum yang sebenar.

Menerusi video yang dikongsikan oleh pendakwah Ustaz Salman Maskuri atau lebih dikenali sebagai Pencetus Ummah (PU) Salman, ramai yang sering tersalah dalam menjawab salam apabila ia disampaikan oleh orang ketiga.

PU SALMAN
PU SALMAN

Sebelum mengupas lanjut tentangnya, beliau menjelaskan terlebih dahulu hukum-hakam berkaitan kiriman salam.

Artikel Berkaitan:

“Hukum mengirim salam adalah sunat kerana ia disebut dalam banyak hadis, termasuklah Malaikat Jibril AS yang turut mengirim salam kepada sahabat-sabahat Nabi Muhammad SAW dan juga kepada Aisyah RA.

“Dalam kitab Syarah Sahih Muslim, Imam An-Nawawi, orang tengah iaitu orang yang diamanahkan untuk menyampaikan salam wajib berbuat demikian kepada individu yang hendak disampaikan salam tadi. Jika kita senyap saja dan tidak beritahu orang itu, hukumnya berdosa,” katanya.

Tanggungjawab itu tidak hanya terletak kepada orang tengah atau penyampai salam sahaja, jelas PU Salman lagi, penerima salam itu juga wajib menjawab dengan kadar segera.

“Dalam situasi kirim salam, ia melibatkan tiga pihak iaitu orang yang kirim salam, orang tengah dan individu yang ditujukan salam. Orang yang ditujukan salam tadi bila sudah dapat kiriman salam daripada orang tengah, maka dia wajib jawab dengan segera.

“Kata ulama, kewajipan ini wajib segera. Kalau lambat jawab berdosa,” katanya.

Mengulas lanjut, PU Salman menjelaskan, kesalahan yang sering berlaku ialah apabila seseorang menjawab kiriman salam dengan lafaz ‘Waalaikumussalam’, sedangkan ia tidak menepati adab dan hukum sebenar dalam konteks kirim salam itu sendiri.

HUKUM mengirim salam adalah sunat dan menjawab salam dalam kadar segera adalah wajib. -Gambar hiasan/ Foto: 123RF
HUKUM mengirim salam adalah sunat dan menjawab salam dalam kadar segera adalah wajib. -Gambar hiasan/ Foto: 123RF

“Menurut Imam An-Nawawi, lafaz yang betul bila ada orang kirim salam kepada kita melalui orang tengah misalnya ‘Salman, tadi kawan kamu kirim salam’, maka saya kena jawab ‘Wa’alaihissalam’ (Dan ke atasnya salam sejahtera), bukannya ‘Waalaikumussalam’ (Selamat sejahtera ke atas kamu).

“Lafaz ‘Waalaikumussalam’ itu tuju kepada orang tengah tadi,” katanya.

Hal itu, menurut agamawan tersebut adalah berdasarkan sebuah hadis yang mana Malaikat Jibril mengirim salam kepadanya melalui Nabi Muhammad SAW.

Baginda SAW menyampaikan salam itu dengan sabda: “Wahai Aisyah, ini Jibril. Dia mengucapkan salam kepadamu.” Lalu saya menjawab: “‘Alaihissalam wa rahmatullahi wa barakatuh’ (Dan ke atasnya keselamatan dan rahmat ALLAH).” Nabi Muhammad SAW melihat apa yang tidak aku lihat.” (Hadis Riwayat Al-Bukhari dan Muslim)

Pada masa sama, PU Salman menambah, sunat hukumnya untuk kita melengkapkan jawapan itu dengan lafaz tambahan yang turut mencakupi orang tengah, selain pengirim salam dengan ucapan ‘‘Alaikassalam wa ‘alaihissalam’.

Ia berdasarkan satu riwayat yang mana terdapat seorang sahabat menyuruh anaknya untuk berjumpa Nabi Muhammad SAW dan berpesan untuk menyampaikan salam kepada Baginda.

AMALKAN cara yang betul ketika menjawab kiriman salam daripada orang lain. -Gambar hiasan/ Foto: CANVA
AMALKAN cara yang betul ketika menjawab kiriman salam daripada orang lain. -Gambar hiasan/ Foto: CANVA

Dalam riwayat itu, anaknya berkata: “Saya pun datang menemui Baginda, lalu saya sampaikan ‘Sesungguhnya bapaku menyampaikan salam kepadamu’. Maka Baginda SAW menjawab ‘‘Alaika wa ‘ala abikas salam’ (Salam sejahtera kembali buatmu dan buat bapamu).” (Hadis Riwayat Ahmad, Abu Daud dan Al-Baihaqi)

“Barulah sempurna (balasan kiriman salam tadi). Paling kurang (sebutlah) ‘Alaihissalam’, bukan ‘Waalaikumussalam’, itu tak sah,” terangnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!