'Tawar GRO, hanya pelanggan warga Myanmar sahaja'

Sebuah pusat hiburan di Bandar Manjalara, Kuala Lumpur diserbu polis pada Selasa.
Sebuah pusat hiburan di Bandar Manjalara, Kuala Lumpur diserbu polis pada Selasa.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Sebuah pusat hiburan yang beroperasi secara haram di Bandar Manjalara di sini, diserbu polis awal pagi Selasa selepas dikesan menawarkan khidmat gadis pelayan pelanggan (GRO) kepada pelanggan warga Myanmar.

Serbuan Op Noda yang dijalankan pada jam 12.10 tengah malam itu melibatkan sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Maksiat, Judi dan Kongsi Gelap (D7), Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa berkata, pihaknya menahan seramai 20 individu warga Myanmar berusia antara 18 hingga 39 tahun dalam serbuan tersebut.

“Antara yang ditahan ialah tujuh wanita disyaki GRO, seorang penjaga premis, beberapa pekerja serta 11 pelanggan lelaki,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Turut dirampas dalam serbuan itu ialah peralatan audio, dekoder, tablet, minuman keras, buku resit jualan dan wang tunai.

Menurut Rusdi, siasatan awal mendapati premis tersebut beroperasi tanpa lesen perniagaan dan menggajikan pekerja asing tanpa dokumen sah.

“Premis hiburan ini berkonsepkan karaoke (KTV) dan menyediakan dua bilik eksklusif untuk pelanggan warga Myanmar sahaja,” jelasnya.

Tambah beliau, ada antara warga asing yang ditahan didapati menyalahgunakan pas lawatan sosial dan tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang sah.

Kes disiasat mengikut Akta Imigresen 1959/63, Seksyen 76 Akta Eksais 1976 serta Seksyen 4(1) Akta Hiburan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur 1992.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!