Penunggang motosikal 'kantoi' beli lesen memandu palsu RM2,700

Seorang penunggang motosikal ditahan kerana memiliki lesen memandu palsu yang dibeli secara dalam talian.
Seorang penunggang motosikal ditahan kerana memiliki lesen memandu palsu yang dibeli secara dalam talian.
A
A
A

AMPANG - Cubaan seorang penunggang motosikal untuk mengelirukan pihak berkuasa dengan mengemukakan lesen memandu kompeten (CDL) palsu gagal apabila taktik liciknya berjaya dikesan Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd Azam Ismail berkata, lelaki tempatan berusia 31 tahun itu ditahan dalam Op Mabuk di Jalan Pandan Utama di sini kira-kira jam 10 malam pada Sabtu lalu.

“Semasa operasi dijalankan, kita menahan dan memeriksa seorang penunggang motosikal. Semakan awal mendapati lelaki terbabit memiliki lesen memandu kelas B2, D dan E, iaitu lesen motosikal, kereta dan lori,” katanya ketika dihubungi pada Selasa.

Bagaimanapun, katanya, siasatan lanjut menggunakan peranti Mobile Card Operation System (MCOPS) dan sistem Jabatan Pengangkutan Jalan Malaysia (JPJ) mendapati tiada rekod sah berkaitan nombor lesen yang dikemukakan.

“Suspek akhirnya mengaku bahawa lesen memandu itu dibeli melalui aplikasi dalam talian dengan harga RM2,700,” jelasnya.

Menurut Mohd Azam, lelaki itu telah dibawa ke Balai Polis Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik IPD Ampang Jaya untuk siasatan lanjut.

Kes disiasat di bawah Seksyen 108 Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memiliki dan menggunakan dokumen palsu.

“Orang ramai dinasihatkan supaya tidak mudah terpedaya dengan iklan atau tawaran menjual lesen memandu di media sosial.

Artikel Berkaitan:

“Jika ditahan oleh pihak polis, semakan terperinci akan dijalankan dan sekiranya disabitkan kesalahan, individu terlibat boleh dituduh di mahkamah,” tegasnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!