Dua penunggang motosikal maut nahas empat kenderaan

Dua penunggang motosikal maut dalam kemalangan membabitkan tiga motosikal serta sebuah lori di Kilometer 220.2 arah selatan Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) pada Selasa malam. (Gambar kecil: Farith Aiman, Mohamad Shahril)
Dua penunggang motosikal maut dalam kemalangan membabitkan tiga motosikal serta sebuah lori di Kilometer 220.2 arah selatan Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) pada Selasa malam. (Gambar kecil: Farith Aiman, Mohamad Shahril)
A
A
A

ALOR GAJAH - [DIKEMAS KINI] Dua penunggang motosikal maut manakala seorang lagi cedera dalam kemalangan membabitkan tiga motosikal serta sebuah lori di Kilometer 220.2 arah selatan Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) di sini pada Selasa malam.

Kejadian kira-kira jam 7.40 malam itu mengakibatkan mangsa, pekerja kilang, Farith Aiman Mohd Fairus, 21, dan kakitangan loji penapisan minyak, Mohamad Shahril Anuar, 45, meninggal dunia di tempat kejadian.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintenden Abu Samah berkata, siasatan awal mendapati ketiga-tiga motosikal mangsa dalam perjalanan dari arah utara menuju ke Melaka.

Menurutnya, setiba di lokasi kejadian, motosikal jenis Honda RS150R yang ditunggang Farith Aiman telah melanggar bahagian belakang kiri sebuah lori yang sedang bergerak di lorong kiri sebelum terjatuh dan terbabas ke lorong kecemasan, lalu melanggar motosikal yang ditunggang Mohamad Shahril.

“Keadaan itu menyebabkan motosikal jenis Yamaha MT-25 yang ditunggang Mohamad Shahril melanggar seorang lagi penunggang motosikal, remaja lelaki, R Jeevankumar, 18, yang menunggang Yamaha Y15ZR.

“Pelanggaran tersebut mengakibatkan Jeevankumar cedera di bahagian kiri tangan dan kaki, manakala kedua-dua penunggang motosikal terdahulu meninggal dunia akibat kecederaan parah,” katanya dalam satu kenyataan di sini pada Rabu.

Jelasnya, kedua-dua mangsa yang maut telah dibawa ke Unit Forensik Hospital Alor Gajah untuk proses bedah siasat.

“Manakala mangsa yang cedera dihantar ke hospital sama untuk mendapatkan rawatan lanjut. Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya lagi.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!