Bahaya tabiat songsang dianggap perkara biasa

ISU lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) bukan lagi perkara asing dalam masyarakat di Malaysia, khususnya golongan muda yang baru nak mengenali dunia luar. Mungkin ada sesetengah individu masih menganggap perkara ini sebagai sesuatu yang janggal untuk dibincang atau didebatkan.
Tapi harus diingat, perkara yang paling dirasakan ‘pelik’ untuk dibincangkan ini umpama barah yang bergerak secara diam dan mampu merosakkan masa depan seseorang.
Suatu ketika dahulu, semasa penulis masih di menara gading, sudah kedengaran anak muda di institusi pengajian tinggi terlibat dengan tabiat songsang ini. Lebih teruk, ada yang sampai sanggup menggadaikan maruah dan badan tidak kira sama ada lelaki sesama lelaki atau perempuan sesama perempuan.
Menakutkan! Isu membarah ini bukan lagi dianggap pelik dalam kalangan golongan muda tetapi lebih teruk rakan-rakan pula menganggap ia hanya perkara biasa.
Tidak takutkah golongan songsang ini kepada jangkitan HIV? Atau mungkin mereka terlalu leka mengejar kenikmatan dunia sehingga terlupa malaikat Raqib dan Atid sedang mencatat dosa atau pahala.
Baru-baru ini, kerajaan negeri Terengganu menjelaskan bahawa mesej pada papan tanda berkaitan amalan homoseksual di beberapa lokasi strategik bertujuan menimbulkan rasa benci terhadap perbuatan tersebut.
Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri, Datuk Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, ia merupakan usaha mendidik masyarakat di negeri itu agar menjauhi perbuatan bertentangan dengan nilai agama dan norma masyarakat.
Ada yang menyokong tindakan itu kerana percaya pendekatan tegas adalah langkah awal membendung budaya songsang, namun tidak kurang juga yang mengkritik kononnya papan tanda itu satu bentuk diskriminasi terhadap hak asasi manusia.
Adakah atas nama ‘hak asasi’, semua perbuatan yang jelas bertentangan dengan agama dan moral perlu diterima bulat-bulat oleh masyarakat?
Presiden Pertubuhan Amal Perubatan Ibnu Sina Malaysia (Papisma), Dr Awisul Islah Ghazali berkata, statistik Kementerian Kesihatan Malaysia pada 2024 menunjukkan sebanyak 2,037 kes atau 64 peratus daripada 3,185 jangkitan HIV berpunca daripada hubungan homoseksual dan biseksual, peningkatan berbanding 57 peratus pada tahun 2018. Ini membuktikan isu LGBT bukan sekadar soal identiti peribadi tetapi berkait rapat dengan kesihatan awam dan kesejahteraan sosial.
Malaysia ialah sebuah negara berteraskan Islam sebagai agama Persekutuan, dengan nilai moral sebagai asas pembentukan masyarakat, malah hampir semua agama di negara ini menolak budaya LGBT.
Lebih parah, budaya itu semakin diraikan dan dinormalisasikan dalam sesetengah kelompok terutama dalam kalangan generasi muda yang aktif di media sosial.
Platform seperti TikTok, Instagram dan X kini seakan menjadi medan peragaan untuk coming out dan mendapatkan pujian atas ‘keberanian’ menjadi diri sendiri.
Ada juga segelintir pempengaruh secara terbuka mempromosikan gaya hidup LGBT kepada pengikut mereka yang majoritinya remaja bawah umur.
Bahkan, ada yang mendakwa mereka menerima pengaruh ini sejak zaman persekolahan, tetapi katanya, tidak ada siapa yang ambil kisah.
Adakah sistem pendidikan dan institusi kekeluargaan sudah gagal menapis atau menegur kecenderungan awal yang menyimpang ini?
Jika benar, maka kita sedang menyaksikan satu kegagalan besar masyarakat dalam mendidik dan membentuk peribadi golongan muda.
Jangan salah faham, tulisan ini bukanlah bertujuan untuk menghina individu yang sedang ‘bergelut’ dengan kecenderungan tersebut, tetapi penting untuk menegaskan bahawa menerima kelemahan diri tidak bermaksud mengangkatnya sebagai sesuatu yang harus diraikan.
Setiap manusia tidak sempurna, tetapi Islam sentiasa membuka pintu taubat dan perubahan serta di situlah sepatutnya arah perjuangan dicari.
Bukan dengan menjadikan nafsu sebagai budaya dan menormalisasikan sesuatu yang secara terang melanggar hukum agama.
*Nor Syazrina Muhamad Tahir ialah Wartawan Sinar Harian
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
