Kelantan sedia ikut jejak langkah Terengganu naikkan papan tanda LGBT

KOTA BHARU – Kerajaan Kelantan sedia mengikut jejak langkah Terengganu menaikkan papan tanda amaran berkaitan amalan homoseksual lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) di negeri ini bagi menimbulkan rasa benci terhadap perbuatan terkutuk itu.
Timbalan Menteri Besar, Datuk Dr Mohamed Fadzli Hassan berkata, apa yang dilakukan oleh Kerajaan Terengganu adalah perkara yang bagus dan pihaknya akan melihat keberkesanannya.
“Kalau ada kesan baik, kita akan ikut dan cuba kaji. Kita sependirian dan sependapat. Ini kerana LGBT adalah musuh terbesar keruntuhan moral dalam kalangan masyarakat sekarang,” katanya semasa sidang akhbar selepas mesyuarat Exco di Kompleks Darulnaim di sini pada Selasa.
Menurut beliau, ia juga penyumbang besar kepada penyakit kelamin yang sedang menular dalam kalangan masyarakat kini.
Sinar Harian sebelum ini melaporkan Kerajaan Terengganu tidak menafikan bahawa mesej pada papan tanda amaran berkaitan amalan homoseksual yang dipasang di beberapa lokasi strategik di negeri itu sememangnya bertujuan menimbulkan rasa benci terhadap perbuatan tersebut dalam kalangan masyarakat.
Menurut Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri, Datuk Wan Sukairi Wan Abdullah, tindakan itu merupakan sebahagian daripada usaha mendidik rakyat agar menjauhi perkara yang bertentangan dengan nilai agama dan norma masyarakat.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!