Sidang Kemuncak ASEAN-GCC-China peluang Malaysia pupuk kerjasama inklusif

PENGANJURAN Sidang Kemuncak ASEAN-GCC-China pada 27 Mei depan dan peranan selaku Pengerusi ASEAN 2025 meletakkan negara di barisan hadapan detik transformasi diplomasi serantau dan global.
Persidangan julung kali diadakan itu bakal menyaksikan kehadiran Perdana Menteri China, Li Qiang, barisan pemimpin dari ASEAN dan Gulf Cooperation Council (GCC).
Di kesempatan ini, Malaysia harus menggunakan sepenuhnya kedudukan strategik dan rangka kerja nilai MADANI untuk memupuk era baharu kerjasama pelbagai hala yang inklusif, mampan, dan berprinsip.
Ketua Pegawai Eksekutif Madani Research Centre (MRC), Azmi Mat Nayan berkata, kekuatan penyatuan yang dimiliki Malaysia untuk menganjurkan mesyuarat ini adalah bukti kredibiliti sebagai peneraju keharmonian.

“MADANI bukanlah slogan; ia adalah metodologi.
“Kita berada di kedudukan yang unik sebagai penanda aras bagi mencontohi dalam menyemai nilai-nilai ini ke dalam institusi sedia ada dan kerjasama praktikal yang memberi manfaat kepada semua pihak terutamanya rakyat sendiri,” katanya dalam kenyataan.
Tambah Azmi, dalam dunia yang dipenuhi ketegangan geopolitik, kepimpinan yang diilhamkan oleh MADANI di Malaysia menawarkan jalan untuk mengumpulkan pelbagai pihak dengan rasa hormat dan ihsan serta memupuk kerjasama berbanding konfrontasi.
Dengan tema Kepengerusian ASEAN Malaysia, "Keterangkuman dan Kemampanan" ia turut mencerminkan nilai-nilai MADANI dan menekankan komitmen negara terhadap agenda serantau yang berpusatkan rakyat, berdaya tahan, dan berorientasikan masa depan.
Justeru, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim turut menekankan, rakyat mesti mempunyai akses kepada peluang pekerjaan yang baik.
“Kita mesti menarik pelaburan baru dari AS, Eropah, negara Arab, atau China. Malaysia tetap tekad untuk melindungi kepentingan rakyat sambil memupuk keamanan dan kemakmuran serantau,” katanya.
Tidak ketinggalan, persidangan yang bakal diadakan di Kuala Lumpur itu turut menyaksikan keutamaan strategik untuk Malaysia termasuk menyeimbangkan persaingan geopolitik melalui keyakinan dan ihsan serta memastikan ASEAN sebagai perantara ketegangan AS-China.
Disusuli, menginstitusikan inklusiviti antara wilayah dengan memupuk daya cipta dan hormat untuk mewujudkan rangka kerja perdagangan dan pengurusan krisis yang kekal.
Berikutnya, mempromosikan keselamatan tenaga selaras dengan kemampanan dan kesejahteraan, memanfaatkan eksport tenaga GCC, transisi hijau ASEAN, dan kepimpinan teknologi China.
Selain itu, ia mendorong pembezaan ekonomi dan pertumbuhan inklusif bagi memastikan manfaat yang adil untuk seluruh masyarakat terutama Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) dan kumpulan terpinggir.
Pada masa sama, mengurus sensitiviti keselamatan serantau dengan hormat dan keyakinan, menggunakan diplomasi senyap untuk mengekalkan keamanan dan perpaduan ASEAN.
Menurut MRC, Sidang Kemuncak ASEAN-GCC-China dan Kepengerusian ASEAN oleh Malaysia bersama-sama menandakan peluang bersejarah untuk menginstitusikan satu ketertiban pelbagai hala baru yang seimbang antara kemakmuran, keselamatan, dan pemuliharaan alam sekitar.
Kepimpinan Malaysia dilihat bersedia untuk menetapkan contoh global bagi diplomasi yang berlandaskan nilai dalam dunia yang semakin kompleks ini.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
