Ismail Holdings diarah bela diri, kes tutup stesen minyak

SEREMBAN – [DIKEMAS KINI] Syarikat Ismail Holdings Sdn Bhd diarah membela diri oleh Mahkamah Sesyen di sini pada Isnin atas pertuduhan gagal mematuhi arahan pengawal bekalan dengan menutup stesen minyak atau memberhentikan jualan petrol pada tahun 2021.
Hakim Mazni Nawi memutuskan demikian selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap syarikat terbabit yang diwakili oleh pekerjanya, Muhammad Helmi Zubir, 41, di akhir kes pendakwaan.
Syarikat berkenaan diberi tiga pilihan, iaitu pertama, berdiam diri tanpa menjawab pertuduhan; kedua, memberikan kenyataan tidak bersumpah tanpa pemeriksaan balas oleh pihak pendakwaan; atau ketiga, memberikan keterangan secara bersumpah dari kandang saksi.
Peguam Jason Ng Kau dan Datuk Ng Boon Siong yang mewakili pihak pembelaan memaklumkan bahawa syarikat memilih untuk memberi keterangan secara bersumpah dari kandang saksi.
“Seramai tiga hingga empat saksi akan dipanggil dan kami akan mendapatkan arahan lanjut daripada anak guam,” katanya.
Sepanjang prosiding, pihak pendakwaan diwakili oleh Timbalan Pendakwa Raya, Noor Haslinda Che Seman.
Mengikut pertuduhan, syarikat itu didapati telah gagal mematuhi arahan yang diberikan oleh pengawal bekalan seperti yang dinyatakan dalam syarat-syarat khas lesen, kecuali dengan kelulusan bertulis.
Pemegang lesen tidak dibenarkan menutup stesen petrol dan diesel atau memberhentikan penjualan bahan api di stesen miliknya.
Kesalahan tersebut dilakukan kira-kira jam 10.40 malam di sebuah stesen minyak di Lebuh Raya Utara-Selatan (PLUS) arah utara di Labu, di sini, pada 9 Februari 2021.
Sehubungan itu, syarikat tersebut telah melanggar Peraturan 12A Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974 yang merupakan suatu kesalahan di bawah Peraturan 21(1) peraturan yang sama dan boleh dihukum di bawah Seksyen 22(2) Akta Kawalan Bekalan 1961.
Mana-mana pertubuhan perbadanan yang melakukan kesalahan di bawah akta ini, apabila disabitkan, boleh didenda tidak melebihi RM2 juta bagi kesalahan pertama atau, bagi kesalahan kedua dan berikutnya, didenda tidak melebihi RM5 juta.
Mahkamah kemudian menetapkan 5 Jun depan untuk pengurusan kes.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

