Teknologi bio sisa makanan jana pendapatan komuniti kebun

SHAH ALAM – Usaha menangani isu sisa makanan di Malaysia kini mendapat suntikan baharu melalui kaedah Pengkomposan Sisa Makanan berasaskan teknologi bio di bawah Program Kembara Komuniti anjuran Malaysian Bioeconomy Development Corporation (Bioeconomy Corporation).
Kaedah yang memupuk amalan kelestarian alam sekitar melalui pendekatan ekonomi kitaran tertutup itu dilaksanakan secara kerjasama strategik antara Bioeconomy Corporation dan syarikat berasaskan bio serta pakar sisa makanan, MAEKO Sdn. Bhd. (MAEKO).
Naib Presiden Kanan Bahagian Sokongan Industri Bioeconomy Corporation, Nora Mohamed berkata, program tersebut melibatkan seramai 45 peserta daripada Komuniti Kebun Agro Harmoni Persatuan Perumahan Awam Seri Sabah dan Komuniti Kebun Agro Desa Rejang.
Menurutnya, tiga mesin kompos MunchBot berkapasiti lima kilogram setiap satu telah dibekalkan untuk kegunaan kedua-dua komuniti itu, selain peserta turut menerima latihan menyeluruh selama 12 bulan mengenai amalan pengurusan sisa makanan secara lestari.
“Peserta komuniti mampu mengitar semula sisa makanan dan menghasilkan kompos berasaskan bio dalam tempoh hanya 24 jam, jauh lebih pantas berbanding kaedah konvensional yang memerlukan 60 hari atau lebih.
“Setiap 450 kilogram (kg) sisa makanan yang diproses boleh menghasilkan sehingga 90 kg baja kompos berkualiti tinggi,” katanya ketika meninjau sesi penerangan dan latihan program tersebut di Kebun Agro Harmoni Persatuan Perumahan Awam Seri Sabah di Jalan Cheras, di sini, pada Sabtu.
Tambah Nora, peserta turut berpeluang menjana pendapatan tambahan dengan menjual baja kompos dan hasil tanaman mereka.
“Hasil pengurusan yang berkesan, peserta berpotensi meraih pendapatan sebanyak RM450 sebulan hasil daripada usaha berkenaan,” katanya.

Menurutnya lagi, program ini menyumbang secara langsung kepada pengurangan sisa makanan, mengurangkan kebergantungan kepada baja kimia serta memastikan penghasilan tanaman yang segar, selamat dimakan dan bebas daripada residu kimia sintetik.
Di samping itu, Nora menjelaskan bahawa penghasilan kompos secara manual turut digalakkan sebagai amalan harian di rumah masing-masing, sekali gus memupuk kesedaran dan penglibatan aktif komuniti terhadap penjagaan alam sekitar.
“Inisiatif Bioeconomy Corporation selaku agensi di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) ini selari dengan Dasar Bioteknologi Negara 2.0 dan aspirasi kementerian dalam memperkasakan teknologi berasaskan sains, memperluas penerimaan teknologi dalam kalangan komuniti serta memupuk inovasi menerusi keusahawanan lestari,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

