Anak penoreh jadi Speaker Dewan Rakyat, Johari kenang jasa pendidik

JITRA – "Saya bukan dilahirkan sebagai pemimpin, tetapi dididik dan diasuh untuk menjadi pemimpin."
Demikian kata Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul mengenang peranan guru-guru dalam membentuk hala tuju kehidupannya.
Beliau yang berasal dari keluarga berlatar belakangkan seorang penoreh getah, tidak pernah menjadikan kekangan ekonomi sebagai alasan untuk menyerah pada nasib, sebaliknya percaya pendidikan adalah kunci utama kejayaan.
Dalam program Bicara Eksekutif Madani bersama warga pendidik di Institut Aminuddin Baki, di sini pada Ahad, beliau berkongsi kisah bagaimana kehidupan sukar mengajarnya erti kegigihan.
"Disebabkan kemiskinan, saya terpaksa menjual kuih pada sebelah pagi, menunggang basikal menjual sehingga tengah hari sebelum masuk sekolah pada jam 1.10 petang. Kadang-kadang sampai lambat ke sekolah dalam jam 1.30 petang. Saya bersekolah di aliran bahasa Inggeris.
“Disebabkan selalu datang lewat, saya didenda rotan sebelum guru besar menghantar seorang guru untuk menyiasat punca saya setiap hari datang lewat. Selepas tahu saya menjual kuih pada sebelah pagi, guru besar meminta maaf kerana mendenda tanpa tahu sebab,” kata bekas Ahli Parlimen Sungai Petani itu.
Bagi Johari, guru bukan sekadar penyampai ilmu tetapi pembentuk karakter dan pemangkin kejayaan seseorang dan tanpa bimbingan mereka, beliau tidak mungkin berada di posisi seperti hari ini.
Menurutnya, kata-kata keramat seorang pendidik yang mahu membantu telah menjadikan beliau seperti hari ini.
"Saya diberi peluang menjadi ketua pelajar, melangkah ke universiti, dan akhirnya berada di dunia politik. Semua ini tidak akan berlaku tanpa guru-guru yang percaya pada saya," tambahnya.
Beliau berkata, para pendidik berada pada posisi paling tepat dalam melahirkan watak-watak yang akan menjadi pemimpin negara ini pada masa akan datang.
Menurutnya, bagi menjadi pemimpin yang baik, setiap individu perlu mempunyai impian, keberanian dan ilmu yang tinggi kerana hanya dengan pendidikan yang baik mereka akan dapat pergi lebih jauh.
"Sebagai anak Malaysia, ada semua peluang-peluang untuk berjaya dan pelajaranlah yang memungkinkan kita untuk naik ke atas.
“Bertanggungjawab dan jadilah contoh yang baik kerana pelajar-pelajar akan mengikut jejak guru mereka," ujarnya.
Program tersebut dihadiri seramai 350 peserta daripada pegawai-pegawai Jabatan Pendidikan Negeri dari Kedah, Pulau Pinang, Kelantan dan Perlis serta bakal-bakal pengetua dan guru besar sekolah.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!