Menerobos demokrasi?

A
A
A

PELBAGAI pihak menzahirkan pandangan mereka tentang peralihan pucuk pimpinan negara minggu lepas. Antaranya ramai bercakap tentang peminggiran prinsip demokrasi.

Demokrasi ialah salah satu kaedah pemerintahan dalam sesebuah negara. Negara di dunia mempunyai pelbagai cara untuk diperintah. Malah demokrasi itu sendiri terdiri daripada pelbagai jenis yang berbeza antara satu sama lain. Ada juga negara yang mengubahsuai kaedah demokrasi agar ia menjadi selari dengan norma lazim sesebuah negara

Demokrasi ialah suatu bentuk kerajaan dengan kuasa menggubal undang-undang dan struktur kerajaan ditentukan oleh rakyat. Dalam sistem demokrasi, undang-undang digubal sama ada oleh rakyat atau wakil yang dipilih oleh rakyat. Sebuah negara yang mengamalkan sistem demokrasi dipanggil negara atau kerajaan yang demokratik.

Perkataan demokrasi berasal daripada bahasa Yunani yang memberi maksud ‘Diperintah oleh Rakyat’.

Di Malaysia sendiri, sistem demokrasi tidak dijelaskan dengan terperinci dalam Perlembagaan Persekutuan. Perkataan demokrasi itu pun sebenarnya tidak wujud dalam Perlembagaan Persekutuan.

Mungkin ramai yang keliru adakah demokrasi itu merupakan matlamat yang hendak dicapai ataupun ia sekadar alat untuk mentadbir negara. Jika ia merupakan matlamat segala upaya hendaklah dilakukan ke arah mencapai matlamat tersebut namun jika ia sekadar alat, alat tersebut boleh diperbaiki tatkala kita mendapati ia sudah usang, tidak efektif ataupun sudah rosak.

Atas nama demokrasi sekarang kita lihat norma lazim kita sudah mula mahu diubah kerana mendakwa memiliki suara terbanyak di Parlimen. Isu-isu yang suatu ketika dahulu tiada kompromi seperti LGBT, komunis, liberal, hak asasi terlampau dan banyak lagi mahu dinormalisasi kini. Natijahnya ia menyemai nilai asing dan mementingkan hak diri berbanding hak awam.

Sesungguhnya pemimpin yang dipilih itu bukanlah diberikan suatu tasyrif (kemuliaan) tetapi merupakan suatu taklif (kebertanggungjawaban). Hakikat inilah perlu disedari oleh pemimpin kita.

Artikel Berkaitan:

Peralihan pucuk pimpinan negara minggu lepas didakwa menerobos prinsip demokrasi oleh beberapa pihak. Sebagaimana yang dinyatakan di atas tadi demokrasi itu sendiri tidak, dinyatakan dalam Perlembagaan Persekutuan tetapi prinsipnya diamalkan. Prinsip tersebut dikanunkan menjadi undang-undang. Oleh yang demikian perkara yang tidak bertentangan dengan undang-undang adalah juga tidak bertentangan dengan demokrasi.

Perubahan pimpinan sebelum tempoh lima tahun atau pembubaran Parlimen memang dibenarkan oleh undang-undang.Ternyata sejarah menitipkan penggal terpendek hayat Parlimen ada yang tidak sampai empat tahun pun. Kesemua ini dibenar undang-undang dan diluluskan secara sah. Oleh itu tidaklah tepat mengatakan kini demokrasi telah mati di Malaysia.

Apa yang penting sekarang ialah sebuah kerajaan yang bersih dan stabil, berkeupayaan memacu kecemerlangan negara dan dapat meningkatkan mobiliti sosial rakyat. Memelihara jati diri negara berteraskan agama bangsa dan tanah air juga merupakan kehendak rakyat majoriti yang tidak harus diketepikan.

Demokrasi itu sendiri tidaklah boleh mengatasi undang-undang, oleh yang demikian ia perlu dipimpin oleh Majlis Raja-Raja. Sudah sampai masanya kita melihat kembali kesesuaian sistem demokrasi ini untuk diterapkan selaras dengan norma lazim tempatan dan budaya kita. Sudah banyak kita melihat undang-undang dan peraturan yang dibuat majoriti ahli legislatif yang mendakwa mendapat mandat rakyat majoriti tidak selari dengan kemahuan masyarakat umum. Namun masyarakat umum tidak mempunyai wadah untuk mengatakan sebaliknya.

Saya mengucapkan tahniah kepada Perdana Menteri kelapan, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang dipilih oleh Yang di-Pertuan Agong pada minggu lepas. Moga perubahan kepimpinan ini memberi sinar kepada rakyat dalam mencorak masa depan negara yang cemerlang.

Demokrasi ialah suatu bentuk kerajaan dengan kuasa menggubal undang-undang dan struktur kerajaan ditentukan oleh rakyat.”

* Datuk Zainul Rijal Abu Bakar ialah Presiden Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia