PH-BN mampu menang bergaya jika terima calon pilihan pucuk pimpinan

Anwar berucap pada Jelajah Perpaduan Madani dan Pelancaran Jentera Perpaduan Negeri Kedah di Padang Awam Guar Chempedak pada malam Sabtu.
Anwar berucap pada Jelajah Perpaduan Madani dan Pelancaran Jentera Perpaduan Negeri Kedah di Padang Awam Guar Chempedak pada malam Sabtu.
A
A
A

YAN - Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) mampu menang bergaya pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Kedah sekiranya ahli dapat menerima calon yang dipilih pucuk pimpinan parti.

Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, perkara itu dapat direalisasikan sekiranya ahli parti dari peringkat bawahan hingga atasan bermuafakat ketika PRN nanti.

Anwar yang juga Perdana Menteri berkata, ahli parti gabungan itu perlu memikirkan masa depan bangsa dan negara berbanding sentimen-sentimen lama dan mendengar propaganda mengarut daripada lawan mereka.

"Kita pilih satu dasar yang boleh angkat ekonomi dan jaga semua rakyat ataupun kita pilih parti yang boleh bawa rosak dan pecah belah masyarakat dan negara.

"Ini bukan pilihan. Ini satu yang kita harus ambil dan saya minta betul-betul, malah saya yakin.

"Saya bagi tahu Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi (Presiden UMNO) berulang kali jikalau digerakkan (penerimaan) calon PH (adalah) calon dia (BN) (dan) calon BN (adalah) calon dia (PH). Jikalau ada pandangan begitu, kita menang bergaya di Kedah," katanya.

Beliau berkata sedemikian ketika berucap sempena Jelajah Perpaduan Madani dan Pelancaran Jentera Perpaduan Negeri Kedah di Padang Awam Guar Chempedak di sini, pada Sabtu.

Sehubungan itu, kata beliau, pimpinan parti PH-BN perlu menerangkan perkara itu kepada setiap ahli agar dapat menerima calon PH ataupun BN, sekali gus tidak percaya dengan hasutan musuh.

"Sebab itu, kempen mereka selain daripada maki saya, (mereka) maki Datuk Seri Dr Ahmad Zahid," katanya.

Beliau berharap, penyokong parti itu tidak termakan hasutan ataupun fitnah yang yang hanya bertujuan memecah-belah sokongan mereka ketika ini.