Derita Biliary Atresia: RM250,000 jadi sinar harapan buat Nur Khayla terus hidup

Nur Khayla Azzahra disamping ibu bapa serta adik-beradik lain.
Nur Khayla Azzahra disamping ibu bapa serta adik-beradik lain.
A
A
A

SEREMBAN – Usaha untuk melihat anak kembali sihat seperti sediakala dipermudahkan apabila hasil sumbangan orang ramai berjumlah RM250,000 membolehkan adik Nur Khayla Azzahra Mohamed Khairul Idhham, 3, menjalani pembedahan di China tahun lalu.

Ibunya, Noreen Ismail, 36, berkata, anak bongsu daripada tiga beradik itu disahkan menghidap Biliary Atresia seawal usia lima hari dan telah menjalani pembedahan Kasai ketika berusia setahun.

Bagaimanapun, katanya, selepas dijangkiti Covid-19, keadaan kesihatan Nur Khayla Azzahra semakin merosot sehingga memerlukan pembedahan pemindahan hati disegerakan.

"Awalnya saya sudah berserah, namun apabila dimaklumkan anak ada potensi untuk sembuh menerusi pembedahan pemindahan hati, kami sekeluarga berusaha mengumpul dana.

“Kami ambil keputusan untuk menjalankan pembedahan pada hujung 2023 dan kutipan dana dibuka awal tahun lalu.

“Dalam tempoh empat bulan, dana yang dikumpul mencukupi. Hampir 100 peratus kos pembedahan dibiayai oleh sumbangan orang ramai termasuk badan bukan kerajaan (NGO) dan individu perseorangan,” katanya kepada Sinar Harian.

Noreen berkata, anaknya menjalani pembedahan pada 26 April 2024 dan kini lega apabila melihat keadaan kesihatan anaknya semakin baik, membesar seperti kanak-kanak lain yang aktif, bermain dan berlari.

Begitupun, lima tahun pertama selepas pembedahan merupakan tempoh kritikal yang memerlukan penjagaan rapi dan pengambilan ubat secara teratur bagi mengelakkan komplikasi, termasuk risiko kanser.

Nur Khayla Azzahra bersama Noreen.
Nur Khayla Azzahra bersama Noreen.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya lagi, Nur Khayla Azzahra masih menjalani rawatan susulan secara bulanan di Hospital Tunku Azizah, Kuala Lumpur, bagi memantau bacaan fungsi hati yang masih tidak stabil.

“Selepas setahun pembedahan, bacaan fungsi hatinya masih belum normal, iaitu di bawah 40. Ada kalanya bacaan terlalu tinggi. Dua bulan lalu, bacaan mencecah 300.

“Doktor memaklumkan kemungkinan disebabkan penolakan organ atau komplikasi lain.

“Walaupun luaran nampak sihat, tahap kuning sudah tiada, namun keadaan dalaman masih dipantau rapi,” katanya yang bekerja di sebuah kilang.

Tambahnya, anaknya kini bergantung kepada ubat steroid dan anti-rejection tacrolimus yang perlu diambil seumur hidup.

Noreen turut merakamkan penghargaan kepada semua penyumbang, khususnya Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Duyong, Datuk Mohd Noor Helmy Abdul Halem yang banyak membantu menjayakan kutipan dana.

“Walaupun anak belum sembuh sepenuhnya, saya lega melihat banyak perubahan positif selepas pembedahan.

“Harapan saya besar untuk melihat dia membesar tanpa komplikasi lagi. Tanpa sumbangan RM250,000 itu, pembedahan ini pasti tidak dapat dilaksanakan,” ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!