Legenda JDT kini pimpinan FAS, TMJ titipkan harapan buat FAM

PEMILIK kelab Johor Darul Ta’zim (JDT), Tunku Mahkota Ismail yang juga Pemangku Sultan Johor, menyambut baik pelantikan kapten pasukan kebangsaan Singapura, Hariss Harun, sebagai Naib Presiden Persatuan Bolasepak Singapura (FAS) bagi penggal 2025 hingga 2029.
Tunku Mahkota Ismail menyifatkan pelantikan tersebut sebagai satu keputusan yang tepat dan bertepatan dengan kredibiliti serta sumbangan besar Hariss dalam arena bola sepak serantau.
“Keputusan terbaik dan sememangnya layak. Beliau seorang profesional tulen dan insan yang hebat. Syabas kepada Singapura,” titah Baginda menerusi hantaran yang dimuat naik di laman media sosialnya.

Dalam pada itu, Tunku Mahkota Ismail turut meluahkan harapan agar suatu masa nanti, bekas pemain negara turut diberi peluang memimpin Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), sekali gus membawa perubahan positif dalam pentadbiran bola sepak negara.
“Semoga suatu hari nanti bekas pemain bola sepak Malaysia akan memimpin FAM. Insya-ALLAH,” titah Baginda.
Sebagai rekod, Hariss merupakan antara tonggak utama skuad Harimau Selatan selepas menyertai JDT pada Januari 2014.
Sepanjang bersama kelab gergasi selatan tanah air itu, Hariss berjaya membantu pasukan menjuarai tujuh kejuaraan Liga Super secara berturut-turut, menjulang trofi Piala AFC 2015, serta merangkul sembilan lagi kejuaraan domestik.
Tonggak kental berpengaruh itu meninggalkan JDT pada Mei 2021 atas persetujuan bersama, selepas membuat 197 penampilan, mengumpul 15,367 minit permainan, menjaringkan 12 gol dan mencatatkan lima bantuan jaringan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

