Tiga individu ditahan berkait aktiviti pelupusan minyak secara haram

JOHOR BAHRU – Tiga individu termasuk seorang pengarah urusan dan pengurus kilang ditahan selepas dipercayai terlibat dalam kegiatan pelupusan haram buangan terjadual di sebuah gudang terbiar di Kawasan Perindustrian Pasir Gudang di sini pada Khamis.
Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) Johor, Dr Mohd Famey Yusoff berkata, penahanan tersebut susulan aduan awam berhubung aktiviti pelupusan bahan berbahaya secara haram di kawasan terbabit.
“Hasil siasatan mendapati terdapat buangan terjadual ditanam di kawasan semak oleh sebuah premis pembuatan minyak bahan api.
“Pemeriksaan lanjut menemukan kira-kira 16 bekas cecair mengandungi buangan terjadual kod ‘SW 311’, iaitu minyak terpakai atau enap cemar berminyak yang disimpan dalam bangunan tinggal kilang tersebut,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Menurutnya, tiga pensampelan bahan buangan telah diambil untuk dianalisis Jabatan Kimia Negeri Johor bagi mengesahkan kandungan berbahaya bahan tersebut.
Dr Mohd Famey berkata, tangkapan membabitkan dua lelaki dan seorang wanita berusia antara 28 hingga 62 tahun itu dilakukan di bawah Seksyen 37C Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.
“Ketiga-tiga Orang Yang Disyaki (OYDS) kini disiasat lanjut mengikut Seksyen 24(1) dan Seksyen 34B(1)(a) akta sama berhubung pencemaran.
"Semua pemain industri diingatkan supaya sentiasa mematuhi peruntukan di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 serta peraturan berkaitan.
“Kegagalan untuk mematuhi akta ini boleh mengakibatkan tindakan perundangan dikenakan ke atas syarikat dan juga pengarah syarikat yang terlibat,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!