Gelap mata mahu untung cepat, peniaga rugi lebih RM700,000

Peniaga kerugian RM720,800 selepas terpedaya dengan sindiket pelaburan saham dalam talian pada 25 Mac lalu. Foto hiasan
Peniaga kerugian RM720,800 selepas terpedaya dengan sindiket pelaburan saham dalam talian pada 25 Mac lalu. Foto hiasan
A
A
A

JOHOR BAHRU - Seorang peniaga kerugian RM720,800 selepas terpedaya dengan sindiket pelaburan saham dalam talian pada 25 Mac lalu.

Timbalan Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintenden Victor Genason berkata, lelaki berusia 58 tahun itu tertarik dengan iklan pelaburan yang dilihat di laman Facebook, yang menjanjikan keuntungan sebanyak 50 peratus dalam tempoh tiga bulan.

Menurutnya, mangsa kemudiannya melakukan 15 transaksi ke empat akaun berbeza, melibatkan jumlah keseluruhan sebanyak RM730,500 antara 25 Mac hingga 9 Mei lalu.

“Mangsa kemudiannya diminta membuat bayaran tambahan bagi tujuan mengeluarkan hasil keuntungannya.

“Namun, dia menyedari telah ditipu apabila usaha untuk mendapatkan semula wang pelaburan gagal dan hanya menerima pulangan sebanyak RM9,700,” katanya dalam kenyataan malam tadi.

Victor berkata, siasatan awal mendapati tiga daripada empat akaun terlibat mempunyai 20 rekod laporan polis membabitkan kes penipuan pelaburan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun, sebatan, dan boleh dikenakan denda jika disabit kesalahan.

“Orang ramai dinasihatkan agar lebih berwaspada terhadap tawaran pelaburan dalam talian yang menjanjikan pulangan tinggi dalam tempoh singkat.

“Lakukan semakan dan dapatkan maklumat lengkap daripada sumber sahih sebelum membuat sebarang pembayaran,” katanya lagi.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!