Spa tutup tanpa notis, 130 mangsa rugi hampir RM700,000

Laporan Sinar Harian berhubung spa ditutup tiba-tiba, lebih 1,000 pelanggan rugi RM500,000
Laporan Sinar Harian berhubung spa ditutup tiba-tiba, lebih 1,000 pelanggan rugi RM500,000
A
A
A

JOHOR BAHRU – Sebuah pusat kesihatan dan kecantikan (spa) dikenali sebagai 38 Speed Relax & Wellness disiasat polis selepas didakwa menipu lebih 130 individu di negeri ini, melibatkan kerugian hampir RM700,000.

Ketua Polis Johor, Datuk M Kumar berkata, sebanyak 130 laporan polis telah diterima pihaknya di seluruh Kontinjen Johor sejak awal Mei lalu berhubung kes berkenaan.

"Mangsa mendakwa mereka ditawarkan pakej rawatan yang boleh digunakan di mana-mana cawangan syarikat itu di seluruh negara pada bila-bila masa, bergantung kepada jumlah rawatan yang dipilih.

“Tetapi selepas membuat bayaran, mangsa mendapati mereka tidak lagi dapat menghubungi pihak syarikat bagi menetapkan tarikh rawatan.

"Mereka kemudian menyedari telah ditipu apabila semua cawangan syarikat itu didapati telah ditutup tanpa sebarang notis,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Sebelum ini, media melaporkan lebih 1,000 pelanggan mendakwa menjadi mangsa penipuan apabila sebuah pusat spa yang beroperasi di beberapa cawangan seluruh negara ditutup tanpa sebarang notis awal.

Pengerusi Biro Aduan Perkhidmatan Awam MCA, Heng Zhi Li berkata, harga asal bagi setiap sesi adalah antara RM288 hingga RM388 sebulan, dengan pakej bernilai antara RM2,400 hingga RM10,000.

Dalam pada itu, Kumar memaklumkan jumlah kerugian yang dilaporkan di Johor setakat ini dianggarkan mencecah RM698,155.

Katanya, siasatan masih diteruskan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang satu tahun dan tidak melebihi 10 tahun, sebatan serta denda jika sabit kesalahan.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!