[VIDEO] Tujuh lelaki didakwa miliki LPG secara haram

A
A
A

SEREMBAN - Enam lelaki warga Myanmar dan seorang lelaki tempatan dituduh di Mahkamah Sesyen di sini pada Rabu atas pertuduhan memiliki barang kawalan iaitu 17,232 kilogram (kg) gas petroleum cecair (LPG) secara haram, hujung bulan lalu.

Bagaimanapun, hanya tertuduh warga tempatan, Chong Ming Fei, 28, mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim, Hazeelia Muhammad selepas kertas pertuduhan dibacakan.

Tiada pengakuan diambil daripada enam warga Myanmar, Min Min, Thar Tun, Thein Than Oo, Aung Min Tun, Kyaw Thu Ya dan Myo Thu Htet di hadapan Hakim, Hazeelia Muhammad berikutan mereka tidak memahami bahasa Melayu.

Mengikut pertuduhan, semua tertuduh dengan niat bersama telah ada dalam milikan mereka barang kawalan iaitu 17,232 kg LPG dengan perbuatan mengilang LPG tanpa lesen.

Perbuatan itu dilakukan kira-kira jam 9 malam di sebuah premis di Jalan Lombong Emas, Kawasan Industri Ringan Jalan Tun Dr Ismail di sini, 30 April lalu.

Kesemua tertuduh diiring pegawai KPDN ketika hadir ke Mahkamah Sesyen pada Rabu.
Kesemua tertuduh diiring pegawai KPDN ketika hadir ke Mahkamah Sesyen pada Rabu.

Berikutan itu, semua tertuduh melakukan kesalahan di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 21(1) akta sama.

Sabit kesalahan bagi individu boleh dihukum denda tidak lebih RM1 juta atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya.

Pegawai Pendakwa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri (KPDN) Putrajaya, Sallim Wahid memohon jaminan RM30,000 bagi lelaki tempatan dan tidak menawarkan jaminan terhadap semua warga Myanmar.

Artikel Berkaitan:

Ming Fei memohon jaminan rendah dengan alasan bekerja sebagai penjaga stor dengan pendapatan RM3,500 dan menanggung adik bongsu yang masih bersekolah serta ibu bapa.

Mahkamah kemudian menetapkan jaminan sebanyak RM15,000 dengan seorang penjamin dan perlu melapor diri setiap bulan di Pejabat KPDN Seremban serta menyerahkan pasport.

Sebutan semula untuk jurubahasa bagi warga Myanmar dan serahan dokumen serta laporan kimia pada 5 Jun depan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!