Armada Bersatu gesa henti bincang isu kenaikan gaji ahli Parlimen

SHAH ALAM - Armada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menggesa supaya sebarang perbincangan berhubung cadangan menaikkan gaji ahli Parlimen dihentikan, khususnya dalam keadaan rakyat masih dihimpit kesusahan.
Penolong Setiausaha Armada Bersatu, Mohd Fahim Mohd Farid berkata, tumpuan seharusnya diberikan kepada penyelesaian sebenar, iaitu pengagihan peruntukan yang adil dan saksama kepada semua ahli Parlimen tanpa mengira blok politik.
Menurutnya, tidak wajar membincangkan soal kenaikan gaji sekiranya tanggungjawab terhadap rakyat dan prinsip keadilan masih belum ditunaikan.
“Kami menyatakan pendirian tidak bersetuju terhadap cadangan menaikkan gaji ahli Parlimen pada ketika ini.
“Cadangan yang dikemukakan oleh Ahli Parlimen Subang itu tidak bertepatan dengan keperluan semasa negara serta realiti yang dihadapi oleh rakyat di peringkat akar umbi. Negara sedang berdepan tekanan kos sara hidup yang amat membebankan, harga barang yang melambung tinggi, subsidi disasar, cukai diperluas serta peluang pekerjaan yang tidak stabil.
“Dalam keadaan sebegini, apakah logiknya cadangan menaikkan gaji ahli politik? Sebaliknya, isu sebenar yang wajar diberi perhatian adalah ketidaksaksamaan dalam agihan peruntukan Ahli Parlimen,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Tambah Mohd Fahim, ahli Parlimen kerajaan kini menerima RM3.8 juta peruntukan kawasan dan RM300,000 untuk pengurusan pejabat (outgrant) dalam tempoh setahun.
Jelasnya, mereka turut mempunyai keistimewaan akses kepada pelbagai kemudahan dan sokongan kerajaan.
“Namun, ahli Parlimen pembangkang pula tidak menerima sebarang peruntukan rasmi. Semua urusan pengurusan pejabat, khidmat rakyat dan program komuniti perlu digerakkan sendiri tanpa bantuan kerajaan.
“Perlu juga diingat bahawa majoriti ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) mewakili kawasan majoriti Melayu, iaitu komuniti yang kini paling terkesan dengan tekanan ekonomi dan keperluan asas.
“Namun, peruntukan terus disekat bukan kerana gagal menjalankan tanggungjawab, tetapi semata-mata kerana mereka merupakan ahli Parlimen pembangkang,” ujarnya.
Beliau turut melahirkan rasa kecewa apabila pembentangan Akta Perkhidmatan Parlimen baru-baru ini tidak memberikan penyelesaian tuntas terhadap isu ketidakseimbangan peruntukan tersebut.
“Akta tersebut yang kononnya dilihat sebagai langkah reformasi hanyalah bersifat kosmetik.
“Langsung tidak menyentuh isu struktur sebenar yang perlu diperbetulkan sekiranya kerajaan benar-benar mahu memartabatkan institusi Parlimen,” katanya lagi.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!