Tun Ramli mahu i-sejahtera diteruskan

GEORGE TOWN- Yang di-Pertua Pulau Pinang (TYT), Tun Ramli Ngah Talib berpandangan program kebajikan i-Sejahtera yang dilaksanakan oleh Kerajaan Pulau Pinang wajar diteruskan.
Ramli berkata, beliau mahu program itu dilaksanakan dengan pendekatan yang lebih bersasar dan inklusif bagi memastikan bantuan yang disalurkan benar-benar memberi manfaat kepada golongan memerlukan.
Menurutnya, inisiatif itu bukan sahaja meringankan beban rakyat malah membuka ruang kepada mereka untuk berdikari dan meningkatkan taraf sosioekonomi.
“Saya berpandangan bahawa program i-Sejahtera wajar diteruskan.
"Keutamaan perlu diberikan kepada golongan yang benar-benar memerlukan, di samping memperkenalkan alternatif pemberdayaan yang lebih mampan seperti peluang latihan kemahiran dan bantuan mikro,” katanya.
Ramli berkata demikian ketika menyampaikan ucapan perasmian Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang ke-15 di sini pada Jumaat.
Sebelum ini, Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, Kerajaan Pulau Pinang sedang meneliti semula pelaksanaan program bantuan kebajikan sosial i-Sejahtera susulan peningkatan perbelanjaan setiap tahun serta keperluan untuk menyesuaikannya dengan situasi semasa.
Beliau berkata, peruntukan untuk bantuan tersebut bagi tahun ini adalah kira-kira RM54 juta manakala RM52 juta bagi tahun 2024.
Menurut Kon Yeow, satu kajian berhubung program itu telah disiapkan, namun sebarang keputusan mengenainya masih belum dimuktamadkan.
Sementara itu, Ramli turut memuji komitmen Kerajaan Pulau Pinang dalam menjaga kebajikan rakyat apabila sebanyak RM50.54 juta telah disalurkan melalui program berkenaan kepada lebih 280,633 penerima sepanjang tahun 2024.
“Angka ini bukan sahaja mencerminkan skala pelaksanaannya, malah memperlihatkan komitmen kerajaan negeri dalam memperkasa kehidupan rakyat tanpa mengira usia, status atau latar belakang,” tambah beliau.
Dalam pada itu, beliau turut menyentuh tentang kepentingan Kajian Semula Rancangan Struktur Negeri Pulau Pinang 2040 yang sedang dijalankan bagi memperkukuh dasar sedia ada agar kekal selaras dengan aspirasi Penang2030.
“Langkah ini penting dalam memastikan pembangunan negeri kekal mampan, responsif dan inklusif, sejajar dengan perubahan demografi serta perkembangan semasa,” ujarnya.
Beliau yang baru dilantik menjadi TYT Pulau Pinang pada 1 Mei lalu juga menzahirkan hasrat untuk turun padang bertemu rakyat dalam usaha memastikan dasar negeri benar-benar berpaksikan realiti dan keperluan semasa.
“Hanya dengan mendengar secara jujur dan terbuka, kita dapat memastikan setiap langkah yang diambil benar-benar membawa manfaat kepada seluruh warga Pulau Pinang,” katanya.
Berkata lanjut, Ramli juga memuji langkah progresif kerajaan negeri dalam membentuk dasar perumahan yang inklusif melalui gagasan Rumah MutiaraKu.
"Saya difahamkan setakat ini, 76 peratus daripada sasaran 220,000 unit kediaman menjelang 2030 telah berjaya dilaksanakan, satu pencapaian yang wajar dipuji.
"Pelan Induk Pembangunan Rumah MutiaraKu yang sedang digerakkan pula memperlihatkan perancangan menyeluruh di seluruh negeri, dari Bayan Lepas ke Kepala Batas," tambahnya.
Beliau turut menyambut baik inisiatif kerajaan Persekutuan memperkenalkan Rang Undang-Undang Pembaharuan Semula Bandar yang dibentangkan di Dewan Rakyat.
"Apa yang pasti, jalinan kerjasama erat antara kerajaan negeri dan kerajaan Persekutuan amat penting dalam memperluaskan pembangunan perumahan mampu milik di Pulau Pinang.
"Dengan mengoptimumkan penggunaan tanah milikan Pesuruhjaya Tanah Persekutuan, hasrat untuk merealisasikan pembangunan rumah mampu milik dan pembaharuan semula bandar di negeri ini di bawah kelolaan Lembaga Perumahan Negeri Pulau Pinang mampu dicapai," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!