Permohonan BDR sempena Sidang Kemuncak ASEAN mula diterima, diluluskan - KPPA

KUALA LUMPUR - Beberapa kementerian, agensi dan jabatan kerajaan mula menerima permohonan daripada penjawat awam untuk Bekerja Dari Rumah (BDR), sempena Sidang Kemuncak ASEAN hujung bulan ini.
Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz bagaimanapun tidak menyatakan jumlah permohonan yang diterima, namun menyatakan ada sebahagiannya telah diluluskan.
"Paling penting, penjawat awam membuat permohonan kepada ketua jabatan dan ketua jabatan juga perlu pastikan betulkah laluan tersebut ditutup dan laluan itu digunakan oleh pegawai kita, kerana kita tak nak ada yang mengambil kesempatan dalam kelonggaran tersebut.
"Jadi ketua jabatan perlu pastikan bahawa mereka itu memang terkesan dan kita berikan KPI (indeks petunjuk prestasi) selama mereka bekerja di rumah.
"Apa sebenarnya yang perlu diselesaikan oleh penjawat awam tersebut, dalam masa yang sama kita tak nak kerja-kerja kita terbengkalai,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media pada Program Bicara Figura: Menelusuri Aspirasi Memaknai Reformasi, di bangunan Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA), di sini hari ini yang turut dihadiri Pengerusi RISDA Manndzri Nasib, Ketua Pengarah RISDA Zainal Azni Zulkifli dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan RISDA Holdings Alias Ibrahim.
Pada 7 Mei, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) memaklumkan penjawat awam yang dijangka terkesan akibat kesesakan trafik sempena Sidang Kemuncak ASEAN hujung bulan ini, disaran untuk memohon pelaksanaan BDR.
JPA memaklumkan selaras dengan komitmen Kerajaan MADANI dalam memperkukuh kesejahteraan rakyat dan kelangsungan perkhidmatan awam, pelaksanaan dasar BDR bagi penjawat awam akan terus dilaksanakan secara fleksibel, tertakluk kepada peraturan yang sedang berkuat kuasa.
Terdahulu pada sesi Bicara Figura itu, Wan Ahmad Dahlan berkata kerajaan masih pada peringkat kajian berhubung fleksibiliti bekerja untuk penjawat awam, bagi memupuk keseimbangan hidup pekerja.
Beliau berkata, satu kajian sedang dibuat JPA bagi membantu mereka yang benar-benar memerlukan untuk bekerja dari rumah.
"Sebenarnya dari segi fleksibiliti kerja ini, negara-negara maju telah lama mengamalkannya, tetapi kita masih berasa takut-takut di pihak majikan. Jadi kajian inisiatif ini (dibuat untuk) bagaimana kita hendak membantu mereka yang memang memerlukan bekerja bukan di pejabat.
"Sebagai contoh, mungkin ibu yang mengandung, sedangkan kerjanya boleh dilaksanakan di rumah. Apa yang paling penting ialah ketua jabatan perlu ada satu set minda mempercayai pegawainya.
"Apabila kita nak melaksanakan perkara ini, kita perlulah ada KPI yang kita berikan. Mungkin tiga hari bekerja di rumah, dua hari dia perlu berada di pejabat. Itulah fleksibiliti yang saya maksudkan,” katanya.
Sementara itu, Wan Ahmad Dahlan berkata, jawatan Ketua Pengarah Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) dijangka diisi dalam masa terdekat, apabila proses pemilihan calon kini berada di peringkat akhir.
Beliau berkata, sama seperti pelantikan beberapa jawatan tinggi yang lain, proses pemilihan akan melalui pelbagai peringkat saringan sebelum diumumkan secara rasmi.
Jawatan Ketua Pengarah AKPS kosong sejak 9 Februari lepas berikutan persaraan Datuk Seri Hazani Ghazali. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!