Permeka angkat bendera putih, kos bahan mentah tinggi

KOTA BHARU - Pertubuhan Peniaga Makanan dan Ekonomi Kecil (Permeka) Kelantan yang mewakili golongan peniaga kecil dan sederhana mengangkat bendera putih selepas tidak lagi mampu berdepan kenaikan mendadak kos bahan mentah ketika ini.
Pengerusi Permeka, C.Syadina Omar C.Daud berkata, mereka yang terdiri daripada 200 ahli merayu kepada kerajaan supaya mengambil tindakan segera bagi menangani tekanan kos operasi yang semakin membebankan mereka dalam suasana ekonomi mencabar ketika ini.
“Kami bukan kejar keuntungan besar, tetapi hanya mahu perniagaan terus hidup demi kebajikan pekerja dan keluarga mereka. Malangnya, beban kini makin menghimpit.
"Antara isu utama ialah cadangan penarikan subsidi gas LPG yang bagi kami akan meningkatkan kos operasi harian, terutamanya bagi peniaga makanan serta industri kecil yang bergantung kepada penggunaan gas untuk memasak dan memproses," katanya semasa sidang akhbar di sini pada Khamis.
Menurut beliau, pelaksanaan gaji minimum RM1,700 menambah tekanan kepada peniaga kecil dan tidak sebagaimana syarikat besar yang ada keupayaan automasi dan pekerja mahir.
Ujarnya, kenaikan tarif import dan eksport turut menjejaskan aliran barangan serta bahan mentah yang menyumbang kepada peningkatan kos logistik.

C.Syadina Omar memberitahu, kenaikan harga minyak masak, santan dan bahan mentah lain yang mendadak menyebabkan mereka tidak mampu sehingga terpaksa menaikkan harga jualan, dan akhirnya pelanggan yang terbeban.
Beliau turut menyentuh mengenai peningkatan tarif elektrik serta harga petrol dan diesel yang memberi kesan besar terhadap peniaga berasaskan penghantaran dan pengangkutan, selain tindakan keras agensi penguat kuasa yang didakwa sering mengeluarkan kompaun tanpa amaran.
“Kami menyeru agar kerajaan lebih bersikap mesra-niaga, bukan mesra-kompaun. Janganlah kami yang bantu rakyat makan, akhirnya kami pula yang dizalimi,” katanya.
Menurut C.Syadina Omar sekiranya kerajaan terus berdiam diri dan ramai peniaga kecil gulung tikar, ia akan memberi kesan kepada puluhan ribu pekerja dan keluarga mereka.
Beliau berkata, Permeka mencadangkan agar subsidi ditarik secara bersasar seperti pelaksanaan SST yang hanya dikenakan kepada syarikat dengan jualan melebihi RM1.5 juta setahun.
“Langkah ini membolehkan syarikat besar menyerap kos tambahan manakala peniaga kecil kekal bertahan dalam pasaran.
"Sehubungan itu, kami menuntut agar kerajaan menilai semula dasar-dasar yang menekan peniaga kecil, melaksanakan semula subsidi bersasar yang lebih adil.
"Menangguhkan atau mengkaji semula kenaikan tarif membebankan, mewujudkan saluran rundingan terus dengan peniaga dan menghentikan kompaun tanpa notis serta menggantikannya dengan pendekatan pendidikan serta nasihat," katanya.
Beliau memberitahu, mereka bukan minta keistimewaan, cuma keadilan dan peluang untuk terus berniaga.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!