Trump 'berbaik' dengan Syria, ada udang di sebalik batu

RIYADH - Keputusan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump menarik balik sekatan ke atas Syria rupa-rupanya ‘ada udang di sebalik batu’.
Trump dilaporkan meminta pemimpin baharu Damsyik untuk menormalkan hubungan dengan Israel selepas membuat tawaran tersebut.
Trump yang sedang mengadakan lawatan rasmi ke Asia Barat, menjadi Presiden AS pertama dalam tempoh 25 tahun bertemu pemimpin Syria, Ahmed al-Sharaa – tokoh yang mengetuai kebangkitan menggulingkan rejim Bashar al-Assad dan sebelum ini pernah tersenarai sebagai individu paling dikehendaki Washington.
Pertemuan pada Rabu itu turut disertai Putera Mahkota Arab Saudi, Mohammed bin Salman (MBS), serta sidang video bersama Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan yang merupakan penyokong utama kerajaan baharu Damsyik.
Rumah Putih memaklumkan bahawa Trump meminta al-Sharaa supaya menjalinkan hubungan diplomatik dengan Israel di bawah Perjanjian Abraham yang telah dimeterai oleh beberapa negara Teluk semasa penggal pertama pentadbirannya.
“Trump juga mengarahkan al-Sharaa mendeportasi anggota pejuang Palestin dan mengusir kumpulan asing lain demi menjayakan perjanjian tersebut,” menurut kenyataan itu lagi.
Trump turut memuji al-Sharaa selepas perjumpaan bersejarah itu dengan menyifatkannya sebagai “lelaki muda yang menarik dan pejuang yang kuat”.
Presiden ke-47 AS itu bagaimanapun tidak memberikan sebarang petunjuk sama ada AS akan mengeluarkan Syria daripada senarai negara penaja keganasan yang telah dikenakan sejak tahun 1979.
Selepas pengumuman mengejut itu dibuat oleh Trump, bandar-bandar utama di seluruh Damsyik dibanjiri penduduk yang meraikan khabar gembira tersebut memandangkan sekatan AS sebelum ini memberi impak besar kepada kehidupan rakyat. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

