Nelayan dera anak saudara didenda RM2,000

BUTTERWORTH - Seorang nelayan didenda RM2,000 selepas mengaku bersalah di Mahkamah Majistret di sini atas pertuduhan melakukan penderaan terhadap anak saudaranya yang berusia tiga tahun pada minggu lalu.
Tertuduh, Mohamad Daim Salleh, 34, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret, Aini Adilah Muhammad Faizal.
Mengikut pertuduhan, Mohamad Daim didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan ke atas seorang kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun dengan menggunakan rotan.
Kesalahan itu dilakukan di sebuah kediaman di Pulau Mertajam, Penaga di sini jam 2.30 petang pada 10 Mei lalu.
Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga setahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-dua sekali, jika sabit kesalahan.
Kes dikendalikan, Timbalan Pendakwa Raya, Siti Marissa Safina Saiful Adli manakala tertuduh diwakili Peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK).
Terdahulu ketika prosiding, Siti Marissa memohon agar mahkamah mengenakan hukuman setimpal terhadap tertuduh atas kesalahannya memukul kanak-kanak kecil.
Bagaimanapun, peguam YBGK yang mewakili tertuduh memohon mahkamah memberikan hukuman berbentuk denda minimum atas alasan tertuduh bekerja sebagai nelayan tidak mempunyai pendapatan tetap selain perlu menyara ibunya.
Isnin lalu media melaporkan, seorang lelaki direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan kes dera anak saudaranya berusia tiga tahun.
Difahamkan, tangkapan dibuat selepas bapa mangsa melaporkan kejadian itu kepada polis selepas melihat anaknya dipukul dengan abang ipar menggunakan sebatang kayu kecil tanpa sebab munasabah.
Kejadian itu berlaku ketika pengadu yang juga seorang kelindan lori membuat panggilan video untuk bercakap dengan mangsa yang tinggal bersama bekas isterinya.
Suspek dipercayai kerap memukul mangsa dengan alasan kononnya kanak-kanak itu sering menangis.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
