Malaysia sedia kerjasama ASEAN, ACO, institusi global perkasa koperasi

Ramanan menyampaikan ucapan pada majlis Makan Malam Gala sempena penutup ASEAN Cooperative Dialogue 2025 (ACD 2025) malam Rabu. Foto Bernama
Ramanan menyampaikan ucapan pada majlis Makan Malam Gala sempena penutup ASEAN Cooperative Dialogue 2025 (ACD 2025) malam Rabu. Foto Bernama
A
A
A

PETALING JAYA - Malaysia sedia bekerjasama dengan semua negara ASEAN, Pertubuhan Koperasi ASEAN (ACO) dan institusi global bagi meletakkan sektor koperasi tempatan sebagai tonggak utama masa depan ekonomi negara.

Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), Datuk Seri R. Ramanan, berkata dalam mencapai visi tersebut, matlamat Pelan Tindakan ASEAN untuk Koperasi perlu selaras dengan kerangka Komuniti Ekonomi ASEAN (AEC).

“Bagi Malaysia, pelan tindakan berkenaan amat signifikan kerana ia selari dengan AEC, yang berfungsi sebagai aspirasi bersama untuk integrasi ekonomi serantau.

“Dengan menyelaraskan inisiatif koperasi negara dengan matlamat AEC, kita memastikan bahawa koperasi memainkan peranan penting dalam memacu pertumbuhan inklusif, memupuk keusahawanan tempatan dan mengurangkan ketidaksamaan.

“Penyelarasan ini memperkasakan kita, selain turut menyumbang kepada usaha dalam membina rantau ASEAN yang lebih berdaya tahan dan makmur,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan penutup sempena Majlis Makan Malam Gala dan Penutupan ASEAN Cooperative Dialogue (ACD2025) di sebuah hotel, pada Rabu.

Turut hadir, Presiden Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa), Datuk Seri Dr Abdul Fattah Abdullah.

Ujar Ramanan, penganjuran ASEAN Cooperative Dialogue (ACD2025) pada Selasa lalu melambangkan satu pembaharuan wawasan untuk ASEAN yang berdaya tahan, inklusif dan berpaksikan kepentingan rakyat.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, lebih bermakna apabila Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengisytiharkan tahun ini sebagai Tahun Koperasi Antarabangsa (IYC) 2025.

“Ini merupakan peringatan yang tepat pada masanya tentang peranan penting yang dimainkan oleh koperasi dalam memacu pembangunan mampan global.

“Sebagai Timbalan Menteri KUSKOP, saya berbangga untuk menyatakan bahawa Malaysia memandang koperasi bukan sebagai barisan sampingan, tetapi antara pemain utama dalam landskap ekonomi negara dan serantau,” ujarnya.

Jelas beliau, sumbangan koperasi dalam bidang seperti pertanian, kewangan, pendidikan dan perkhidmatan adalah penting dalam memupuk penyertaan ekonomi yang saksama.

“Oleh itu, dialog ACD2025 adalah amat tepat pada masanya dan sangat diperlukan.

“Kita mesti bersatu untuk menangani isu-isu penting dan membina kerangka serantau yang menyediakan sokongan berstruktur serta pengiktirafan institusi kepada koperasi,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!