'Jangan tiru kandungan kontroversi'

BACHOK - Pencipta kandungan (konten) tidak perlu meniru konten yang boleh menimbulkan kontroversi atau mengundang salah faham masyarakat dalam usaha mengikut trend terkini di media sosial.
Dekan Fakulti Teknologi Kreatif dan Warisan (FTKW), Universiti Malaysia Kelantan (UMK) Prof Madya Dr Raja Iskandar berkata, banyak kandungan di media sosial yang dilihat biasa namun mampu menyumbang maklumat untuk semua golongan.
Menurutnya, kandungan seperti itu sebenarnya lebih berkualiti jika teknik yang digunakan kreatif dan menggabungkan nilai positif.
"Kita jangan terikut-ikut dengan kandungan yang mungkin boleh mengundang perbalahan terutama melalui penggunaan teknik kecerdasan buatan (AI)," katanya selepas menghadiri Program Mitos dan Realiti 2025 di sini pada Rabu.
Jelas Raja Iskandar, setakat ini ada alumni FTKW yang mampu menjana pendapatan melalui media sosial dalam industri kreatif dan ramai juga penuntut mempunyai potensi terutama dalam penghasilan konten.
Beliau turut menasihatkan pencipta kandungan berfikiran lebih matang dan tidak melampaui batas sosial dan agama ketika menghasilkan bahan di media sosial.
"Kita faham, kadang-kadang ramai pencipta kandungan yang mahukan elemen kejutan tetapi kita bimbang ia akan melampaui batas agama atau moral, adat dan budaya," katanya.
Program yang dianjurkan oleh Creative Accelerator Center (CAC) itu dirasmikan oleh Penasihat Bersama Kumpulan Karangkraf, Datuk Muhammad Nasir Hamzah dan turut dihadiri Pengarah CAC yang juga panel program, Prof Madya Ahamad Tarmizi Azizan.
Sementara itu, Muhammad Nasir yang juga Ahli Lembaga Penasihat CAC, FTKW dalam ucapan perasmiannya berkata, penuntut institusi pengajian tinggi boleh menjadi ejen perubahan terutama ketika dunia kini menggunakan teknologi moden.
Jelas beliau, sifat introvert tidak akan membantu mereka membina masa depan kerana semua perkara yang dilakukan perlu ada matlamat.
"Masalah kita ialah keyakinan diri dan perlu disedari bahawa mengehadkan diri melakukan sesuatu tidak akan membina masa depan," katanya.
Selain Ahamad Tarmizi, dua panel Program Mitos dan Realiti 2025 ialah Presiden Persatuan Youtuber Malaysia, Shamsul Ambiaq Mat Daud dan Pengurus Real Design, Zulkifli Mohd Zan untuk berkongsi pengalaman mereka.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!