Komen jelik media sosial: 18 anggota bomba diberi peringatan, 1 digantung tugas

Nor Hisham
Nor Hisham
A
A
A

SEREMBAN – [DIKEMAS KINI] Anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) diingatkan agar berhati-hati ketika menggunakan media sosial, khususnya dalam mengulas isu-isu sensitif yang tidak selaras dengan etika penjawat awam.

Ketua Pengarah JBPM, Datuk Ts Nor Hisham Mohammad berkata, walaupun media sosial adalah medium yang baik untuk menyampaikan maklumat, penggunaannya perlu mematuhi garis panduan ditetapkan.

“Sebagai penjawat awam, kita tidak boleh mengulas secara terbuka isu sensitif seperti 3R – raja, kaum dan agama, dasar-dasar kerajaan, atau memberi komen berbaur peribadi yang menggunakan bahasa tidak wajar,” katanya.

Nor Hisham memakaikan pingat kepada anggota yang menunjukkan perkhidmatan cemerlang
Nor Hisham memakaikan pingat kepada anggota yang menunjukkan perkhidmatan cemerlang

Beliau berkata demikian kepada media selepas Majlis Penganugerahan Pingat Bomba dan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang JBPM Negeri Sembilan di sini, hari ini.

Menurut beliau, dalam tempoh dua tahun lalu, sebanyak 18 anggota telah menerima surat peringatan manakala seorang anggota bomba bantuan digantung tugas selama tiga bulan kerana melanggar etika penggunaan media sosial.

“Kami tidak menghalang penggunaan media sosial, malah menggalakkan penggunaannya untuk menyebarkan program jabatan dan pencapaian peribadi.

“Namun, keterujaan menulis perlu dikawal, agar tidak menjejaskan imej jabatan,” jelasnya.

Dalam perkembangan lain, Nor Hisham berkata, JBPM kini dalam perancangan memperkenalkan program asas renang untuk pelajar sekolah bermula tahun hadapan.

Artikel Berkaitan:

Program itu merupakan inisiatif jabatan di bawah Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) bagi meningkatkan keselamatan di air dalam kalangan pelajar.

“Kita sasarkan seramai 50,000 pelajar mahir berenang dapat dilahirkan di seluruh negara dalam tempoh lima tahun,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!