Video pemandu e-hailing bantu Nek Sarah buat ramai tersentuh

MELAKA - Seorang pemandu e-hailing wanita yang berkongsi video menumpangkan seorang warga emas yang berjalan kaki sambil membawa barang di Pantai Puteri pada Ahad lalu tular di aplikasi TikTok.
Wanita berusia 39 tahun yang berasal dari Kuching, Sarawak, Santy Kadir atau nama akaun TikToknya santy_meng86 berkata, beliau sekadar berkongsi video pertolongan kecil itu kerana teringatkan susuk tubuh wanita yang dipanggil 'Nek Sarah', yang mengingatkannya kepada ibunya di kampung.
Menurutnya, ketika itu beliau dalam perjalanan untuk mengambil penumpang ke arah bandar Melaka sebelum terserempak dengan wanita berkenaan yang berjalan kaki sambil memegang dua beg plastik merah di kedua-dua belah tangan.
Katanya, ketika itu hatinya berbelah bahagi antara menunaikan tempahan pelanggan yang sedang menunggu atau membantu warga emas tersebut. Beliau akhirnya memutuskan untuk berpatah balik dan menghantar wanita itu pulang ke rumah.
“Setiba di rumah nenek, saya segera turunkan barang dan beritahu akan datang semula berjumpa dengannya memandangkan saya perlu segera beredar.
“Niat saya berkongsi video itu kerana susuk tubuh nenek itu seperti mak saya. Saya terfikir, kalau itulah mak saya, pasti saya seorang anak yang gagal kalau tidak membantunya. Tapi apa yang berlaku sebaliknya,” katanya kepada Sinar Harian di sini pada Rabu.
Tambah ibu kepada dua orang anak berusia 13 dan tujuh tahun itu, beliau tidak pernah menyangka pertolongan kecil itu akan tular sehingga menggalakkan lebih ramai individu berhati mulia tampil membantu warga emas, termasuk yang merancang bergotong-royong membersihkan rumah Nek Sarah.
Ujarnya, beliau sebak melihat keprihatinan orang ramai, bukan sahaja dari Malaysia, malah dari Brunei, Singapura, London, Sabah dan Sarawak yang menghubunginya untuk menawarkan bantuan kepada Nek Sarah.
Beliau yang mesra dipanggil Meng berkata, pertemuannya dengan warga emas itu dianggap sebagai satu ujian terhadap dirinya untuk membantu golongan kurang bernasib baik, walaupun ketika itu beliau tergesa-gesa untuk mengambil penumpang.
Malah katanya, laluan masuk ke rumah warga emas itu juga agak jauh ke dalam dan perlu melalui kawasan belukar, hanya boleh dilalui dengan berjalan kaki, yang menambahkan lagi rasa sebaknya apabila memikirkan kehidupan wanita tersebut.
“Tipulah kalau saya kata tak menangis. Dalam kereta saya menangis mengenangkan keadaan nenek yang tinggal bersendirian di rumahnya.
“Bila saya datang semula ke rumahnya, ramai yang ingin turut serta membantu dan ada yang mahu membelikan peralatan elektrik agar nenek itu dapat tinggal dengan lebih selesa,” katanya yang telah menetap di Melaka lebih 13 tahun.
Tambahnya lagi, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Kundor, Tuminah Kadi turut tidak ketinggalan membantu warga emas berkenaan.
Video yang dimuat naik sejak Ahad lalu telah dikongsi sebanyak 11,500 kali, menerima 5,166 komen dan meraih lebih 179,800 tanda suka.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!