MySTEP umpama turun taraf pegawai pantau harga - CUEPACS

KOTA BHARU – Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) menyuarakan kebimbangan terhadap pelaksanaan Program Pekerjaan Jangka Pendek (MySTEP) ke atas 18,000 pegawai pemantau harga di bawah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), yang disifatkan sebagai satu bentuk penurunan taraf ke atas golongan berpengalaman.
Presiden CUEPACS, Datuk Dr Adnan Mat berkata, sejak penubuhan jawatan tersebut hampir dua dekad lalu, majoriti pegawai terbabit telah lama berkhidmat dan cukup berpengalaman.
“Mereka telah lama menyumbang khidmat dan cukup berpengalaman, tetapi kini mahu digantikan di bawah MySTEP yang tidak menyediakan caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) dan elaun tertentu.
“Janganlah ‘downgrade’ dan beri kegusaran kepada mereka. Lantikan di bawah MySTEP ini boleh menyebabkan mereka hilang keyakinan dan semangat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Seminar Pengukuhan Penguatkuasaan Akta Kesihatan Awam 2025 anjuran Kesatuan Inspektor Kesihatan Semenanjung Malaysia, di sini, pada Rabu.
Menurut Adnan, pegawai pemantau harga tersebut sepatutnya diberi peluang untuk diserap ke jawatan tetap berdasarkan pengalaman, sekiranya terdapat kekosongan.
Tambahnya, terdapat pegawai yang berkelulusan ijazah namun hanya menerima gaji tetap sekitar RM2,500 tanpa sebarang tambahan faedah kebajikan seperti yang dinikmati dalam skim perkhidmatan tetap.
“Sehubungan itu, kami minta kerajaan timbang semula pertukaran skim pekerjaan mereka.
“Mereka tahu buat kerja, ada pengalaman dan hanya perlukan keadilan dalam peluang untuk diserap secara tetap,” katanya.
CUEPACS turut memaklumkan bahawa sehingga kini belum menerima sebarang maklum balas rasmi daripada kerajaan sejak kenyataan media berkaitan gesaan itu dikeluarkan pada 15 April lalu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

