PKR perlu ketiga-tiga simbol, suara dan strategi

Rafizi, Saifuddin Nasution, Nurul Izzah.
Rafizi, Saifuddin Nasution, Nurul Izzah.
A
A
A

DALAM diam, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail membuat keputusan yang besar tetapi tidak dijulang — menarik diri daripada bertanding jawatan Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Keputusan ini sekali imbas tampak sebagai langkah damai demi mengelakkan pertembungan tiga penjuru, namun hakikatnya, ia satu pengorbanan politik yang cukup besar bagi seorang tokoh yang menjadi tulang belakang strategi parti dan kerajaan.

Keputusan untuk tidak bertanding bukan kerana ketiadaan pengaruh tetapi kerana meletakkan perpaduan dalaman parti di hadapan cita-cita peribadi. Dalam konteks politik sekarang, sikap ini sangat jarang ditemui dan amat dihargai oleh komponen parti gabungan.

Kini, pertandingan hanya tertumpu kepada dua tokoh berprofil tinggi — penyandang, Datuk Seri Rafizi Ramli, dan Nurul Izzah Anwar, anak sulung Presiden parti merangkap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Persaingan ini membuka persoalan penting: Apakah kesan jangka panjang kepada PKR dan Kerajaan Perpaduan sekiranya tokoh sepenting Saifuddin Nasution dan tokoh yang kalah disisihkan daripada barisan kepimpinan utama parti?

Rafizi dalam program Yang Bakar Menteri: Yang Berhenti Menteri?
Rafizi dalam program Yang Bakar Menteri: Yang Berhenti Menteri?

Watak strategik yang tidak glamour tapi kritikal

Artikel Berkaitan:

Saifuddin Nasution bukan sekadar ‘orang lama’ dalam PKR. Beliau ialah Setiausaha Agung paling lama dalam sejarah parti dan memainkan peranan utama dalam memeta hala tuju PKR sewaktu zaman gelap serta sewaktu transisi kepada Kerajaan Perpaduan.

Selaku pemimpin parti yang setia, beliau adalah arkitek dan perunding utama kepada pelbagai rundingan sensitif, terutamanya pembentukan Kerajaan Perpaduan pasca-Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) yang menyatukan blok politik yang selama ini berseteru.

Sebagai Menteri Dalam Negeri, beliau juga mengetuai berbagai-bagai reformasi penting termasuk penstrukturan semula agensi penguatkuasaan, reformasi imigresen serta operasi pembanterasan dadah dan pemerdagangan manusia.

Karier pentadbirannya menunjukkan kematangan dan disiplin politik tinggi yang menjadikan beliau sebagai ‘aset tidak ternilai’ kepada Anwar dan PKR. Namun, kerana sifatnya yang low-profile dan bukan tokoh retorik populis, peranan beliau sering tidak disedari akar umbi.

Walau begitu, bagi pemimpin-pemimpin dari Barisan Nasional (BN), Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Saifuddin Nasution adalah jambatan kepercayaan yang paling utuh antara PKR dan rakan gabungan, khususnya UMNO.

Jika beliau tidak diberi tempat strategik dalam parti selepas pemilihan, implikasinya besar. PKR bukan sahaja akan kehilangan seorang ahli strategik kerajaan, tetapi juga akan kehilangan tokoh yang paling diterima dan dihormati oleh sekutu dalam Kerajaan Perpaduan.

Tanpa Saifuddin Nasution, PKR mungkin berdepan dengan ketegangan dalaman dengan kelompok idealis yang boleh memecah-belah kesatuan dalaman parti dan menggugat keharmonian gabungan nasional, terutama apabila negara menghampiri Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).

Saifuddin Nasution adalah tokoh yang boleh diharapkan untuk menjaga disiplin parti dan mengekalkan kemenangan dalam PRU16 dengan gabungan rentas parti Pakatan Harapan (PH) dan BN untuk Semenanjung Malaysia beserta GPS dan GRS di Malaysia Timur.

Nurul Izzah sebagai simbol harapan

Pemilihan ini membuka laluan luas buat Nurul Izzah untuk meraih jawatan Timbalan Presiden. Beliau membawa jenama “politik harapan” yang segar, bersih dan idealistik.

Sebagai ikon generasi reformasi, dan anak sulung kepada Anwar, beliau punya nilai simbolik yang sangat kuat dalam naratif kesinambungan perjuangan PKR.

Namun, kemenangan Nurul Izzah bukan tanpa risiko. Beliau masih kurang pengalaman mentadbir kementerian dan belum diuji dalam rundingan strategik berskala besar.

Tambahan pula, persepsi nepotisme tetap menghantui, bukan kerana kekurangan beliau, tetapi kerana hubungan darahnya dengan Presiden PKR dan Perdana Menteri.

Rafizi pula merupakan tokoh penting yang tidak boleh disisihkan begitu sahaja. Walaupun cabarannya sukar kali ini, beliau kekal sebagai antara penggerak jentera pilihan raya paling efektif yang pernah dimiliki PKR.

Pelan ekonomi Malaysia Madani, reformasi subsidi dan sistem data Pangkalan Data Utama (PADU) adalah antara inisiatif yang membuktikan kemampuan pentadbirannya.

Namun begitu, personaliti Rafizi yang keras, berkonfrontasi dan beremosi kadang-kala mencetus konflik dalaman sama ada di dalam PKR atau dengan parti-parti rakan di dalam Kerajaan Perpaduan memberi satu risiko besar jika beliau tidak ditangani dengan bijak.

Jika beliau kalah, dan petunjuknya adalah begitu, serta tidak lagi diberikan peranan penting selepas ini, besar kemungkinan akan wujud perpecahan dalaman dalam PKR disebabkan beliau juga mempunyai pengaruh tersendiri di dalam parti.

Keperluan menyeimbangkan semua tokoh utama

Oleh itu, PKR memerlukan ketiga-tiga tokoh ini, Nurul Izzah, Saifuddin Nasution dan Rafizi, untuk menjamin kelangsungan sebagai parti pemerintah dan teras kepada Kerajaan Perpaduan.

Nurul Izzah besar kemungkinan akan menang, tetapi kemenangan beliau perlu diiringi dengan kematangan dan bimbingan daripada tokoh-tokoh berpengalaman seperti Saifuddin Nasution.

Dalam masa yang sama, Rafizi perlu dikekalkan sebagai wajah teknokratik reformasi dan pengemudi dasar, asalkan diberikan ruang untuk bekerjasama dan mengurangkan sikap perseteruan.

Begitu juga dengan keperluan menaikkan semula Saifuddin Nasution ke posisi strategik, bukan semata-mata sebagai “penyelesai masalah” tetapi sebagai jurutera politik jangka panjang yang mampu menjaga keseimbangan antara idealisme dan realpolitik.

Kesimpulannya, PKR sedang melalui fasa transisi kepimpinan yang genting. PKR tidak boleh bergantung kepada satu acuan sahaja. Untuk terus relevan dan stabil ia memerlukan:

• Nurul Izzah yang mewakili harapan masa depan, tetapi perlukan bimbingan dan sistem sokongan.

• Rafizi yang mewakili api reformasi, tetapi perlukan kekangan agar tidak membakar rumah sendiri.

• Saifuddin Nasution yang mewakili kekuatan struktur dan diplomasi, yang mesti terus diperkuat demi kestabilan gabungan.

Tiga tunjang ini – simbol, suara dan strategi – adalah resipi yang akan menentukan sama ada PKR mampu terus menjadi nadi kepada reformasi nasional atau kembali tenggelam dalam percaturan kuasa dalaman.

*** Dr Iskandar Hasan Tan Abdullah ialah Pensyarah Kanan di Fakulti Sains Pentadbiran & Pengajian Polisi, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kelantan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!