Program Repatriasi Migran 2.0 dilanjutkan - Saifuddin Nasution

Saifuddin Nasution menyampaikan anugerah kepada salah seorang penerima pada Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2024 Jabatan Imigresen di Putrajaya pada Jumaat.
Saifuddin Nasution menyampaikan anugerah kepada salah seorang penerima pada Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2024 Jabatan Imigresen di Putrajaya pada Jumaat.
A
A
A

PUTRAJAYA - Program Repatriasi Migran 2.0 (PRM 2.0) dilanjutkan mulai 19 Mei ini sehingga 30 April tahun depan.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, program pengampunan pulang pendatang tanpa izin (PATI) sukarela itu khusus untuk Semenanjung dan Wilayah Persekutuan Labuan.

Menurutnya, melalui program berkenaan, pendatang asing terlibat dikecualikan tindakan pendakwaan dan ditawarkan kompaun mengikut kesalahan ditetapkan.

“Bagi kesalahan memasuki dan berada di Malaysia tanpa pas yang sah dan kesalahan tinggal lebih masa selepas tamat tempoh pas dikeluarkan dikenakan kompaun sebanyak RM500.

“Untuk kesalahan melanggar syarat pas pula kompaun RM300 dikenakan dan bagi semua kategori permohonan, individu terlibat juga turut dikenakan bayaran pas khas sebanyak RM20 bagi setiap pengeluaran.

“Kanak-kanak warga asing yang berumur di bawah 18 tahun yang tinggal lebih masa atau dibawa masuk ke Malaysia tanpa suatu pas yang sah adalah dikecualikan daripada kompaun, namun perlu membayar pas khas yang sama (RM20),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang akhbar selepas Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2024 Jabatan Imigresen Malaysia di Dewan De' Seri Endon, Puspanitapuri di sini pada Jumaat.

PRM 2.0 merupakan lanjutan siri pertama yang tamat pada 31 Mac lalu.

Menjelaskan lebih lanjut, Saifuddin Nasution bagaimanapun berkata, PRM 2.0 itu tidak ditawarkan kepada PATI yang telah mendaftar dan gagal membuat perjalanan keluar di bawah program sama sebelum ini.

Selain itu katanya, warga asing yang disenarai hitam oleh Jabatan Imigresen dan mempunyai waran tangkap atau dikehendaki pihak berkuasa juga tidak layak untuk mengikuti program berkenaan.

Artikel Berkaitan:

“Bagi individu dengan status perundangan khas seperti pasangan warganegara yang tinggal lebih masa perlu hadir ke bahagian visa, pas dan permit untuk tujuan penyelarasan pas.

“Kementerian juga menyeru semua pihak termasuk perwakilan asing, majikan dan komuniti warga asing untuk menyebarluaskan maklumat dan ini bagi menggalakkan penyertaan awal untuk mengelakkan kesesakan menjelang saat akhir,” katanya.

Beliau menambah, tahun ini turut diisytiharkan sebagai tahun penguatkuasaan dan kementeriannya juga mengarahkan Jabatan Imigresen untuk mempertingkat operasi secara besar-besaran di lokasi tumpuan warga asing.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!